
“Kementerian Kesihatan (KKM) menghubungi keluarga memaklumkan Dr Ainul yang berada dalam nahas helikopter berkenaan meninggal dunia,” kata adik ipar mangsa, Nureez Mohd Pauzi.
Dr Ainul Baroah Kamaruddin, 32 merupakan salah seorang penumpang helikopter yang dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang tadi.
Katanya, panggilan daripada KKM itu dibuat kepada suami Dr Ainul Baroah iaitu Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, kira-kira jam 4 petang, sebelum lelaki itu memaklumkan kepada keluarganya di Kelantan.
“Kami sekeluarga kini berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) (Kota Bharu) untuk ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Sarawak pada Subuh esok.
“Kami dalam keadaan terkejut dan penerbangan paling awal untuk ke Sarawak adalah pagi esok,” jelasnya.

Tambahnya, Dr Ainul yang berasal dari Kota Bharu baru bertugas di sebuah hospital di Miri, Sarawak, sejak tahun lalu.
“Beliau sebelum ini bertugas di Hospital Tanah Merah (HTM) sebelum berpindah ke sana kerana mengikuti suaminya yang bertugas sebagai guru di Miri.
“Sebaik menerima panggilan berkenaan, kami sekeluarga terus membeli tiket penerbangan untuk ke Sarawak.
“Setakat ini, kami sekeluarga tidak tahu Dr Ainul mahu ke mana (ketika) menaiki helikopter berkenaan memandangkan suaminya juga dalam keadaan terkejut dan hanya memaklumkan kepada kami berhubung panggilan daripada KKM,” katanya.
Menurut Bernama, helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) yang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) itu membawa empat petugas KKM.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang dalam tugas rasmi.
































