Polis menumpaskan kumpulan Geng Man Kuda yang disyakit terlibat dalam 14 kes jenayah samun dan curi kenderaan sejak Jun lalu dengan nilai kerugian dianggarkan RM200,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata pihak berkuasa menahan tiga lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berumur antara 24 hingga 49 tahun yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah dalam Ops Lejang di Taiping, Perak dan Kulim, Kedah.
“Modus operandi yang digunakan adalah mencuri kenderaan mangsa yang diletakkan di hadapan rumah menggunakan batang besi yang diubah suai, selain melakukan samun terhadap mangsa yang berada di dalam rumah serta individu yang berjalan bersendirian.
“Hasil tangkapan tersebut, polis berjaya merampas enam buah kenderaan curi serta pelbagai barangan kes milik mangsa serta polis Perak berjaya menyelesaikan sembilan kes curi dan cubaan curi kenderaan, dua kes samun serta tiga kes curi barang dalam kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak polis turut mengesan empat lagi suspek lelaki warga tempatan berumur antara 30 hingga 36 tahun bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun serta merampas sebuah Proton Saga BLM yang dipercayai digunakan dalam kegiatan khianat melibatkan perbuatan menyimbah cat serta membakar rumah dan kenderaan dalam Op Simbah pada 7 Julai lalu.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai dipengaruhi sindiket pinjaman wang tidak berlesen (ah long) untuk melakukan khianat dan ugutan terhadap mangsa yang gagal membayar hutang.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan menyimbah cat, membakar rumah atau kenderaan, mengunci rumah mangsa serta meninggalkan nota ugutan. Suspek menerima bayaran antara RM100 hingga RM400 bagi setiap tugasan yang dilaksanakan,” ujarnya.
Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam 77 kes khianat di Perak (57 kes), Kedah (15 kes) dan Pulau Pinang (5 kes).