
Sambutan hari lahir ke-60 yang seharusnya menjadi detik gembira buat sebuah keluarga bertukar menjadi aksi kejar-mengejar di jalan raya selama lebih sejam selepas sebuah SUV BYD Song yang baru sahaja dibeli dilarikan pencuri.
Insiden tersebut berlaku pada 10 November lalu di pusat pengedar BYD Changsha Jinxuanfeng Dynasty Series di Wilayah Hunan, China.
Menurut pembeli yang hanya dikenali sebagai Xiong, keluarganya memandu dari kampung halaman mereka ke Changsha untuk membeli kereta baharu sempena hari lahir bapa mentuanya.
Keluarga berkenaan telah membuat bayaran penuh sebanyak CNY155,000 (RM95,111) bagi model BYD Song.
Walau bagaimanapun, sekitar jam 6.00 petang ketika sedang menunggu kereta tersebut dicuci dan pemasangan filem penapis haba, seorang jurujual dalam keadaan panik memaklumkan bahawa kereta tersebut telah hilang dari kawasan penyerahan.
Aksi Kejar-Mengejar Sejauh 20km

Susulan itu, kakitangan bilik pameran bertindak pantas membawa bapa mentua dan adik ipar Xiong mengejar kenderaan terbabit berpandukan sistem penjejakan GPS masa nyata menerusi aplikasi telefon pintar.
Selepas aksi kejar-mengejar berlarutan lebih sejam melebihi 20km, mereka berjaya memintas kereta berkenaan sebelum anggota polis tiba di lokasi memberkas suspek tidak lama kemudian.
Mengejutkan keluarga mangsa, suspek terbabit didapati memakai pakaian seragam kerja dengan logo BYD sewaktu ditahan, sekali gus mencetuskan syak wasangka awal bahawa kes kecurian itu didalangi orang dalam.
Namun, Pengurus Jualan Cawangan Changsha menafikan suspek adalah pekerja mereka dan menjelaskan suspek membeli baju berlogo BYD itu secara dalam talian dengan warna yang berbeza daripada uniform rasmi premis.
Siasatan polis mendapati suspek mempunyai rekod jenayah curi kereta sebelum ini dan tidak stabil dari segi mental serta bertindak melarikan SUV itu semata-mata bagi “memuaskan gian memandu”.
Pihak pengedar mengakui kecuaian dalaman apabila seorang pekerja meninggalkan kunci pintar di dalam kereta semasa beredar mengambil plat sementara, ditambah pula premis berkenaan tidak mempunyai pondok pengawal keselamatan serta liputan kamera litar tertutup (CCTV) di ruang penyerahan.
Pembeli Enggan Terima Kereta & Tuntut Pampasan

Bagaimanapun, keluarga Xiong enggan menerima kenderaan tersebut yang mana pihak pengedar telah memulangkan bayaran penuh serta memulakan proses pembatalan dan pemulangan wang bagi polisi insurans pada 11 November.
Rundingan awal menemui jalan buntu apabila pihak pengedar menolak tuntutan pampasan tiga kali ganda di bawah undang-undang perlindungan pengguna atas alasan premis mereka turut menjadi mangsa susut nilai kereta yang sudah didaftarkan.
Tetapi, Xiong mengesahkan di media sosial pada 15 November bahawa segala pertikaian telah berjaya diselesaikan secara baik.
Polis di Changsha yang membuka kertas siasatan rasmi pada malam kejadian turut mengesahkan suspek telah diletakkan di bawah tahanan reman.




