Utama Berita Automotif Kegagalan sistem stop start, lebih 1 juta kereta Honda disiasat

Kegagalan sistem stop start, lebih 1 juta kereta Honda disiasat

1

Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) membuka kertas siasatan baharu membabitkan lebih 1 juta unit kenderaan keluaran Honda susulan laporan kegagalan enjin dihidupkan semula selepas dimatikan oleh sistem henti-mula automatik. 

Menurut badan pengawal selia keselamatan jalan raya berkenaan, siasatan tersebut dilancarkan selepas pihaknya menerima 700 aduan rasmi daripada pengguna yang menyatakan enjin kenderaan gagal berfungsi kembali sebaik sahaja kenderaan berhenti sepenuhnya.

Siasatan baharu ini menumpukan kepada barisan model popular Honda dan jenama mewahnya, Acura bagi keluaran tahun 2024 hingga 2026, merangkumi:

  • Honda Odyssey (MPV)
  • Honda Passport (SUV)
  • Honda Ridgeline (Trak Pikap)
  • Honda Pilot (SUV)
  • Acura MDX (SUV Mewah)

Sistem henti-mula automatik direka bagi menjimatkan bahan api dengan mematikan enjin ketika kenderaan pegun sebelum menghidupkannya semula sebaik kaki pemandu diangkat daripada pedal brek.

Pihak NHTSA memaklumkan bahawa siasatan terbaharu ini merupakan kesinambungan kepada siasatan terdahulu yang bermula pada 2022 membabitkan 2.2 juta kenderaan Honda (dengan lebih 1,300 aduan, empat kemalangan, dan dua kecederaan).

Walaupun simptom kegagalannya adalah sama, pengawal selia mendapati kelompok model baharu 2024 hingga 2026 ini mempunyai punca masalah mekanikal atau perisian yang berbeza serta tindak balas berlainan terhadap kaedah pembaikan sedia ada.

Tindakan Pembaikan Honda & Panggilan Balik Terdahulu

Honda sebelum ini mengeluarkan buletin servis pada tahun 2023 bagi menangani isu berkenaan yang melibatkan pembaikan dua peringkat bermula dengan kemas kini perisian, diikuti langkah kedua sekiranya perlu iaitu menggantikan pemasangan pemula dan geganti serta pelarasan injap.

Honda turut melanjutkan waranti kepada 10 tahun tanpa had perbatuan bagi kenderaan yang memerlukan penggantian komponen tersebut.

Pengeluar automotif dari Jepun itu menyatakan bahawa pihaknya sedia maklum mengenai siasatan baharu tersebut dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada NHTSA sepanjang siasatan. 

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) tahun ini telah memansuhkan kredit pelepasan emisi kenderaan yang sebelum ini boleh diperoleh pengeluar automotif menerusi pemasangan ciri henti-mula.

Minggu lalu, Honda turut memanggil balik sebanyak 635,808 unit kenderaan di Amerika berikutan gangguan perisian yang boleh mematikan bantuan stereng kuasa, sekali gus menjadikan kenderaan lebih berat dan sukar dikawal.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here