
Lotus dilaporkan semakin hampir untuk menghidupkan semula nama legenda Esprit menerusi supercar baharu dikenali sebagai Type 135 yang dijadualkan diperkenalkan pada 2028.
Menariknya, model itu menandakan perubahan hala tuju Lotus yang sebelum ini berhasrat menjadi pengeluar kenderaan elektrik sepenuhnya.
Kini, syarikat milik Geely itu memilih pendekatan hibrid berprestasi tinggi susulan permintaan pasaran yang masih belum memihak sepenuhnya kepada EV.
Varian tertinggi Type 135 bakal menggunakan enjin Horse W40 V8 4.0 liter twin-turbo yang dibangunkan oleh Horse Powertrain, syarikat usahasama antara Renault dan Geely.
Enjin jenis “hot-V” itu menghasilkan lebih daripada 680PS dan 800Nm, sebelum bantuan daripada motor elektrik.
Apabila digabungkan dengan sistem hibrid, jumlah kuasa keseluruhan dijangka melebihi 1,000PS, menjadikan Type 135 sebagai Lotus produksi paling berkuasa pernah dihasilkan.
Kuasa tersebut akan disalurkan melalui transmisi klac berkembar lapan kelajuan (8DCT), namun tiada pilihan transmisi manual dilaporkan.
Selain V8, Lotus turut menyediakan pilihan lebih mampu milik menerusi enjin V6 3.0 liter twin-turbo hibrid.
Unit Horse W30 itu menghasilkan 544PS dan 700Nm, sebelum mengambil kira bantuan daripada motor elektrik.
Walaupun kurang berkuasa berbanding versi V8, enjin V6 itu lebih ringan sekitar 40kg dan berpotensi menawarkan pengendalian yang lebih lincah ketika mengambil selekoh.
Setakat ini, Lotus masih belum mendedahkan imej penuh Type 135 atau menjalankan ujian awam yang boleh dirakam jurugambar pengintip.
Bagaimanapun, imej acah yang dikongsi sebelum ini menunjukkan bahagian belakang sebuah supercar dengan lampu LED nipis dan dua corong ekzos bulat, yang mempunyai persamaan ketara dengan konsep Lotus Theory 1 diperkenalkan pada 2024.
Theory 1 pada asalnya dibangunkan sebagai EV sepenuhnya, namun perubahan strategi Lotus menyebabkan Type 135 bakal hadir sebagai model hibrid.
Nama Esprit masih belum disahkan secara rasmi, namun ramai menjangkakan Type 135 bakal menggunakan semula nama ikonik tersebut yang kali terakhir digunakan pada 2002.
Jika menjadi kenyataan, Type 135 bukan sahaja bakal mengembalikan salah satu nama paling terkenal dalam sejarah Lotus, malah turut menjadi pesaing baharu kepada Ferrari, McLaren dan Lamborghini dalam segmen supercar hibrid berprestasi tinggi.







