Utama Berita Automotif Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports 2027, berbeza daripada Africa Twin biasa

Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports 2027, berbeza daripada Africa Twin biasa

8

Honda memperkenalkan CRF1150L Africa Twin Enduro Sports 2027, model baharu dalam siri motosikal pengembaraan Africa Twin yang dibangunkan khusus untuk penunggang yang mahukan keupayaan off-road lebih tinggi.

Model ini berkongsi enjin, rangka, lengan ayun, kedudukan tunggangan serta kemas kini elektronik dan sistem maklumat hibur dengan Africa Twin generasi baharu.

Enduro Sports pula menerima beberapa perubahan khusus seperti suspensi dengan jarak gerak lebih panjang, jarak kelegaan tanah lebih tinggi dan badan lebih ringkas.

Selain itu, model ini mempunyai perbezaan berat sebanyak 9kg berbanding Africa Twin, selain spesifikasi casis yang lebih menjurus kepada tunggangan off-road.

Reka Bentuk Diilhamkan Jentera Rali HRC

Reka bentuk Enduro Sports mengambil inspirasi daripada jentera rali HRC Honda menerusi konsep Premium OFF Adventure.

Bahagian hadapan menampilkan lampu LED berkembar yang kompak, cermin hadapan kecil dan pelindung lumpur yang dipasang tinggi.

Bahagian belakang pula direka dengan bentuk badan yang lebih ringkas dengan lampu LED menggunakan lensa S-Glitter-cut.

Kedudukan tunggangan turut menerima perubahan berbanding CRF1100L Africa Twin.

Hendal kini 10mm lebih pendek, 10mm lebih tinggi dan 10mm lebih ke hadapan. Pijakan kaki pula dialihkan 20mm ke dalam dan 10mm ke belakang.

Pelana menerima perubahan pada ketebalan dan bentuk busa untuk meningkatkan keselesaan. Ketinggiannya boleh dilaraskan antara 870mm dan 890mm.

Enjin 1,131cc, Kuasa 118.9PS, DCT dan Manual

CRF1150L Africa Twin Enduro Sports menggunakan enjin dua silinder selari 1,131cc yang menghasilkan kuasa maksimum 118.9PS pada 7,500rpm dan tork 119Nm pada 5,750rpm.

Output kuasa meningkat 16.5 peratus berbanding CRF1100L Africa Twin.

Peningkatan kapasiti enjin daripada 1,084cc kepada 1,131cc dicapai melalui pembesaran diameter gerek sebanyak 2mm kepada 94mm, manakala lejang kekal 81.5mm.

Nisbah mampatan turut meningkat daripada 10.5:1 kepada 12.1:1.

Antara perubahan pada enjin ialah:

  • Sistem kemasukan udara baharu dan badan pendikit 52mm berbanding 46mm.
  • Reka bentuk semula kepala silinder, injap dan aci sesondol.
  • Omboh, rod penyambung dan aci engkol baharu.
  • Klac dan nisbah gear yang diubah suai.
  • Sistem ekzos berkembar baharu untuk mengoptimumkan prestasi kuasa dan emisi.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau Dual Clutch Transmission (DCT) enam kelajuan.

Kedua-dua pilihan menerima nisbah gear baharu bagi memberikan pecutan lebih pantas dan putaran enjin lebih rendah ketika pelayaran lebuh raya.

CRF1150L Africa Twin Enduro Sports mempunyai kapasiti tangki bahan api 18.8 liter menerusi susunan tangki berkembar.

Honda memaklumkan isi padu tangki itu boleh digunakan sekitar 370km.

Penggunaan bahan api dalam mod WMTC ialah 5.1 liter/100km bagi versi manual dan 5.4 liter/100km untuk versi DCT.

Enam Mod Tunggangan Termasuk OFFROAD+

Sistem pendikit elektronik Throttle By Wire (TBW), unit pengukuran inersia enam paksi (IMU) dan unit kawalan elektronik (ECU) menjadi asas kepada sistem elektronik motosikal.

Enam mod tunggangan disediakan, iaitu Sport, Touring, Urban, Rain, Offroad dan Offroad+.

Semua mod boleh dilaraskan mengikut pilihan penunggang melalui tetapan tersuai dalam setiap mod.

Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) mempunyai tujuh tahap kawalan yang disesuaikan dengan input daripada IMU.

Lagi kawalan elektronik ialah Wheelie Control, pengurusan brek enjin dan dua pilihan tindak balas pendikit, Dynamic serta Comfort.

Bagi versi DCT, terdapat tiga mod operasi:

  • MT untuk penukaran gear secara manual menggunakan suis pada hendal.
  • D untuk tunggangan automatik dengan kecekapan penggunaan bahan api.
  • Sport untuk mengekalkan putaran enjin lebih tinggi sebelum menaikkan gear dan menurunkan gear lebih awal ketika nyahpecutan.

Sistem DCT turut menerima tetapan khusus Offroad dan Offroad+.

Mod Offroad mengurangkan gelinciran klac ketika pertukaran gear, manakala OFFROAD+ membolehkan penunggang memilih program pertukaran gear.

Fungsi pengesanan cerun turut melaraskan corak pertukaran gear mengikut keadaan laluan.

Paparan TFT 7 Inci dan Sambungan Tanpa Wayar

Sistem paparan baharu menggabungkan paparan maklumat kenderaan 5.7 inci dengan skrin sentuh TFT berwarna 7 inci.

Skrin tersebut turut menyediakan paparan khusus off-road bersama fungsi kompas.

Masa permulaan sistem dipendekkan sekitar 70 peratus kepada lima saat. Antara kelengkapan teknologi lain ialah:

  • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
  • Paparan navigasi belokan demi belokan dan maklumat media melalui widget.
  • Sambungan interkom dan komunikasi tiga hala.
  • Suis kawalan baharu dengan lampu latar.
  • Soket pengecasan USB-C di belakang paparan.
  • Honda SMART Key untuk suis pencucuhan, kunci stereng elektrik dan penutup tangki bahan api.

Kawalan jelajah dan pelindung tangan turut menjadi kelengkapan standard.

Sistem keselamatan Emergency Stop Signal (ESS) yang mengaktifkan lampu kecemasan secara automatik ketika membrek secara mengejut pada kelajuan melebihi 50km/j.

Lampu isyarat turut mempunyai fungsi pembatalan automatik berdasarkan perbandingan kelajuan roda hadapan dan belakang.

Rangka Lebih Ringan dan Suspensi Showa

Rangka separa double cradle keluli dan lengan ayun aluminium baharu menjadikan gabungan kedua-dua komponen itu 1.4kg lebih ringan berbanding Africa Twin 2026.

Satu perubahan penting ialah penggunaan tangki bahan api tambahan di bawah pelana untuk merendahkan pusat graviti dan memusatkan jisim motosikal.

Kedudukan beberapa komponen lain seperti bateri, ECU, penutup tangki dan kotak penapis udara turut diubah suai bagi mencapai tujuan sama.

Sistem suspensi menggunakan komponen Showa dengan spesifikasi berikut:

  • Fork hadapan USD 49mm jenis closed-cartridge dengan pelarasan penuh dan jarak gerak 240mm.
  • Penyerap hentak belakang Showa dengan sistem Pro-Link dan jarak gerak gandar 230mm.
  • Jarak kelegaan tanah 260mm.

Fork 49mm mengikut spesifikasi CRF450RALLY ini menggantikan unit 45mm pada reka bentuk terdahulu.

Berat motosikal ialah 228kg bagi versi manual dan 239kg untuk versi DCT.

Brek dan Rim Jejari

Sistem brek hadapan menggunakan dua cakera terapung 310mm dengan angkup empat omboh jenis radial-mount. Bahagian belakang pula dilengkapi cakera brek 256mm.

Rim jejari 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang dipadankan dengan tayar tanpa tiub.

Tayar standard ialah Metzeler Karoo Street, Michelin Anakee Wild turut disenaraikan sebagai pilihan untuk penunggang yang mahukan prestasi off-road lebih tinggi.

Aksesori Tulen Honda

Honda menyediakan pelbagai aksesori tulen untuk Enduro Sports menerusi pakej Comfort, Rally dan Travel Pack Soft.

Antara aksesori yang ditawarkan termasuk beg tangki, pelana pemanas, pemanas pemegang hendal, pelindung enjin.

Lagi aksesori seperti gril radiator, pijakan kaki Rally, sambungan pelindung tangan, beg sisi dan rak belakang.

Pilihan kotak simpanan atas merangkumi unit plastik 58 liter dan aluminium 42 liter. Turut tersenarai ekzos Rally SC-Project Slip-on Muffler.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here