
Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan kenaikan cukai eksais ke atas kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) daripada 10 kepada 35 peratus, kata Menteri Kewangan, Ekniti Nitithanprapas.
Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada struktur cukai bertingkat baharu yang bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dan pengeluaran tempatan.
Kadar cukai baharu berkenaan dijadualkan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2027 yang mana rancangan kerajaan untuk menaikkan cukai eksais EV CBU yang tidak mempunyai tapak pengeluaran di Thailand.
Ia bagi melindungi pelabur yang melabur dalam kilang pembuatan serta rantaian bekalan komponen di Thailand serta mendorong pengeluar kenderaan yang masih bergantung pada import sepenuhnya untuk mempercepatkan rundingan bersama kerajaan bagi mendirikan fasiliti pengeluaran tempatan.

Thailand merupakan hab pengeluaran dan eksport automotif serantau yang utama bagi pengeluar gergasi seperti BYD dan Toyota Motor.
Negara berkenaan mencatatkan pendaftaran EV sebanyak 22,587 unit dan motosikal elektrik baharu pada September 2026 melonjak 89.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut Persekutuan Industri Thailand (FTI).
Daripada jumlah tersebut, EV penumpang sahaja merekodkan 19,425 unit, peningkatan ketara sebanyak 98.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah pendaftaran EV mencecah 191,273 unit dengan peningkatan 83 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025. Manakala kereta penumpang elektrik menyumbang sebanyak 167,789 unit daripada jumlah keseluruhan tersebut.
FTI menyasarkan pendaftaran sepanjang tahun 2026 bakal mencecah antara 200,000 hingga 220,000 unit, berbanding sekitar 120,000 unit pada 2025.
Dari segi infrastruktur pengecasan, Thailand kini mempunyai 5,021 lokasi pengecasan dengan 15,290 penyambung di seluruh negara setakat akhir September.




