
Xiaomi Auto mengesahkan pihaknya akan mula menjual kenderaan elektrik di benua Eropah bermula tahun 2027.
Bertempat di IFA Berlin, pengeluar automotif China itu menandatangani memorandum persefahaman dengan lapan kumpulan pengedar terbesar Jerman.
Kumpulan yang dimaksudkan itu ialah Ernst Dello, Autohaus Dinnebier, Emil Frey Germany, Fett & Wirtz, Hahn Automobile, LUEG Mobility, Penske-Jacobs Innovation, dan SPT Avior.
Pendekatan yang diguna pakai oleh Xiaomi nyata berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kebanyakan pengeluar China yang lain.
Ini kerana majoriti jenama China memasuki pasaran Eropah dengan bergantung kepada jualan secara terus dan model agensi, sementara Tesla pula tidak mempunyai jaringan pengedar tradisional.
Di China, Xiaomi telah mengedarkan lebih 700,000 unit kenderaan sejak EV pertamanya diedarkan pada Mac 2024.
Dalam tempoh enam suku selepas penghantaran, Xiaomi berjaya meraih keuntungan, satu pencapaian yang sukar dikecapi oleh pembuat kereta legasi.
Sedan SU7 berjaya mencapai jualan 500,000 unit dalam masa 28.5 bulan, sementara SUV YU7 memperoleh lebih 240,000 tempahan dalam masa 18 jam selepas pelancaran.
SU7 juga menjuarai kajian kualiti yang dijalankan oleh J.D. Power China di dalam segmen BEV besar.
Selain SU7 dan YU7, Xiaomi turut memperkenalkan siri baharu SkyNomad yang menampilkan SUV dengan unit rangkaian kuasa penambah jarak (EREV) menggunakan platform Kunlun.

































