
Setakat ini, gergasi elektronik China Xiaomi mempunyai dua produk EV premium iaitu SU7 dan YU7 yang agak laris terjual.
Belum puas dengan pencapaian sedia ada, Xiaomi sedang bersedia untuk hadir dengan sebuah coupe dua pintu berprestasi tinggi.
Berdasarkan hantaran di media sosial China, sebuah prototaip dikesan meluncur laju di atas lebuh raya yang penuh dengan pelekat samaran.
Antara ciri ketara yang membuktikan ia sebuah model Xiaomi termasuklah rekaan lampu belakang ‘wraparound’ bersana bar lampu yang lebih nipis berbanding model SU7.
Ciri lain yang dibawakan daripada model SU7 termasuklah rekaan skirt sisi, rim, brek dan cermin sisi.
Namun yang paling menonjol sekali ialah kehadiran sayap belakang gergasi yang hampir setara saiznya dengan unit yang terdapat pada Porsche 911 GT3 RS generasi terkini.
Selain itu, coupe tersebut dilengkapi dengan diffuser besar di belakang serta liang aliran udara pada belakang tayar hadapan.
Buat masa ini tiada sebarang info berhubung maklumat teknikal model coupe terbaharu Xiaomi ini.
Sekitar 18 bulan lepas, Xiaomi pernah mendedahkan platform EV empat motor yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 2,054 hp dan dipadankan dengan sistem suspensi aktif.
Tetapan tersebut masih belum digunakan pada mana-mana model produksi Xiaomi, dan mungkin akan diguna pakai pada model baharu ini.
Nampaknya, Yangwang U9 bakal berdepan dengan pencabar baharu.



































