Utama Berita Automotif Yamaha bangunkan skuter hibrid dengan tetapan dwi-motor

Yamaha bangunkan skuter hibrid dengan tetapan dwi-motor

6

Tahun lepas, Yamaha memperlihatkan dua prototaip motosikal yang dipacu enjin hibrid iaitu Proto PHEV dan Proto HEV. 

Proto PHEV merujuk kepada jentera yang dibina berdasarkan MT-09 dengan enjin 890 cc yang digandingkan dengan casis aluminium, motor elektrik tunggal dan pek bateri. 

Proto HEV pula merupakan skuter hibrid yang tidak perlu dicas seperti Proto PHEV. 

Berdasarkan paten terbaharu, Yamaha Proto HEV menampilkan sistem yang jauh lebih radikal, dengan enjin silinder tunggal, tetapan dwi-motor dan transmisi CVT seperti skuter sebenar. 

Dalam dokumen paten, ia digambarkan sebagai sistem hibrid siri-selari yang sangat fleksibel – boleh bergerak menggunakan tenaga elektrik, operasi enjin pembakaran dalaman sahaja atau gabungan kedua-duanya sekali. 

Rahsianya ialah tugas yang digalas oleh setiap motor elektrik. 

Motor elektrik pada bahagian belakang bertugas memacu roda belakang secara langsung, dan disokong oleh pek bateri berkapasiti besar yang diposisikan antara kaki penunggang. 

Tetapan ini membolehkan skuter mencapai mod elektrik penuh apabila enjin ICE dimatikan dan dipisahkan daripada CVT melalui klac elektromagnetik. 

Ia juga turut menyokong brek regeneratif untuk mengecas semula bateri ketika proses nyahpecutan. 

Motor elektrik kedua pula dipasang pada aci engkol enjin dan berfungsi sebagai unit pemula/penjana. 

Apabila bateri mencapai tahap kapasiti rendah, enjin akan dihidupkan secara automatik. 

Dengan klac elektromagnetik itu tadi, enjin boleh beroperasi pada rpm optimum untuk menjana elektrik dan mengecas bateri. 

Secara tidak langsung, ia bertindak sebagai unit penambah jarak sementara motosikal bergerak dalam mod elektrik. 

Sekiranya kuasa lebih diperlukan, klac akan menghubungkan enjin kepada CVT untuk memacu roda belakang seperti skuter biasa. 

Motor belakang juga boleh membantu memacu roda dalam mod hibrid selari. 

Terdapat juga mod ‘boost’ di mana kedua-dua motor elektrik akan beroperasi menghasilkan tork dan kuasa maksimum untuk pecutan bertenaga. 

Fokus paten Yamaha tertumpu kepada dua perkara utama. 
 
Satu daripadanya ialah sistem yang akan beroperasi secara automatik tanpa campur tangan daripada penunggang. 
 
Selain itu, lakaran ringkas paten menunjukkan komponen HEV tersebut boleh dipadankan pada skuter maxi, dan dalam masa yang sama mengekalkan ruang kaki dan bentuk badan hadapan seperti skuter biasa. 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here