MMM dedah teaser kabin XForce, dapat sistem audio Yamaha

10

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini sedang dalam fasa akhir persiapan untuk melancarkan SUV kompak yang dinantikan tahun ini, Mitsubishi Xforce.

Menjelang pelancaran rasmi yang dijangka pada suku kedua tahun ini, tumpuan kini terarah kepada ruang kabin yang didedahkan oleh MMM menerusi sebuah video berdurasi 16 saat.

Kabin Xforce tampil dengan konsep silky dan solid yang menampilkan rona warna hitam serta penggunaan material fabrik melange pada panel instrumen. Selain memberikan tekstur premium yang lembut, fabrik ini juga tahan kotoran dan memberikan suasana moden.

Pada video berkenaan turut memaparkan kluster instrumen digital bersaiz 8-inci bersama skrin hiburan 12.3-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. 

Menariknya, sistem infotainmen ini didatangkan dengan fungsi multimeter yang memberi penghormatan kepada legenda Mitsubishi Pajero.

Ia memaparkan maklumat seperti altimeter, sudut condong, dan kompas digital, memberikan aura kembara dalam setiap pemanduan bandar.

Lebih menarik, ia turut mendedahkan XForce bakal mendapat sistem audio Yamaha coaxial 2-Way yang bakal menjanjikan kualiti suara yang jernih dan mendalam. 

Sebelum video berakhir, MMM turut menunjukkan ruang kargo di belakang yang dikatakan terbaik dalam kelasnya serta dapat diatur sesuai keperluan.

MMM telah membuka Pendaftaran Minat (ROI) bermula Januari ini, dengan tempahan rasmi akan dibuka pada awal Februari 2026.

Orang ramai juga boleh melihat model ini dengan lebih dekat melalui siri jelajah roving truck di seluruh negara bermula 16 Januari sehingga Mac depan.

Dengan gabungan rekaan luaran yang agresif serta kabin yang serba mewah, Mitsubishi Xforce dilihat sedia untuk mencabar dominasi pesaing seperti Honda HR-V dan Proton X50 di pasaran tempatan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here