Utama Berita Automotif Suzuki Ignis 2027 jadi EV, dibuat untuk pasaran dunia, Malaysia tersenarai?

Suzuki Ignis 2027 jadi EV, dibuat untuk pasaran dunia, Malaysia tersenarai?

2
 

Suzuki Motor Corporation memperkenalkan Suzuki Ignis baharu, yang kini menjadi kenderaan elektrik (EV) dan EV kompak pertama Suzuki untuk pasaran global. Ignis merupakan model ikonik Suzuki yang dikeluarkan sejak tahun 2000.

Ignis baharu direka untuk memudahkan pengguna beralih daripada kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV atau daripada kereta lebih besar kepada kenderaan kompak.

Suzuki kini mempunyai tiga buah EV iaitu eVitara yang telah ditawarkan di dalam negara dan eSky untuk pasaran Jepun dan lebih kecil daripada Ignis.

Jualan Ignis baharu dijadualkan bermula di Eropah dan pasaran lain pada musim panas 2027 (Jun hingga Ogos).

Reka Bentuk Luaran dan Dalaman

Dari segi reka bentuk, Ignis menggunakan tiga kata kunci utama iaitu “Smart”, “Iconic” dan “Cozy” yang menggabungkan elemen reka bentuk biasa dengan penampilan lebih moden.

Bahagian luaran menampilkan garis bahu yang memanjang serta bumbung terapung bagi menghasilkan penampilan ringan dan kemas.

Lampu LED depan dan belakang pula menggunakan grafik signatur yang diilhamkan daripada angka digital bagi memberikan identiti tersendiri.

Ruang kabin menampilkan garis melengkung yang bersambung dari papan pemuka hingga kemasan pintu untuk menghasilkan suasana lebih selesa kepada penumpang.

Panel instrumen menggunakan reka bentuk bernuansa hangat yang menggabungkan skrin paparan lebar dengan dulang praktikal bercirikan kemasan seramik.

Motor Elektrik dan Bateri LFP

Ignis menggunakan unit eAxle kompak dan ringan yang mengintegrasikan motor elektrik baharu, penyongsang serta gear reduksi dalam satu unit.

Sistem itu dipadankan dengan bateri jenis LFP (lithium iron phosphate) yang direka untuk menawarkan tahap keselamatan tinggi dan jangka hayat penggunaan panjang.

Motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa maksimum 67kW dan tork maksimum 133Nm.

Bateri yang digunakan mempunyai kapasiti 26kWj, manakala sistem pacuan menggunakan konfigurasi dua roda (2WD).

Suzuki belum mendedahkan jarak pemanduan secara rasmi dan untuk rujukan, eSky dengan bateri 26kWj boleh dipandu sehingga 310 km.

Platform EV Khusus HEARTECT-e

Model ini dibangunkan menggunakan platform EV khusus HEARTECT-e dengan susunan bateri secara cekap di bawah badan kenderaan.

Menurut Suzuki, penggunaan platform tersebut membolehkan badan kenderaan yang ringan dan mempunyai ketegaran tinggi dihasilkan.

Packaging komponen yang cekap turut membolehkan ruang kabin lebih luas disediakan tanpa mengabaikan kestabilan pemanduan.

All-new Ignis juga mempunyai jejari pusingan minimum 4.5 meter bagi memastikan tahap kebolehgerakan yang baik.

Keselesaan Pemanduan dan Pengendalian

Suzuki melengkapkan model ini dengan sistem suspensi khusus untuk platform EV bagi menghasilkan kestabilan pengendalian dan keselesaan pemanduan.

Selain itu, beberapa kelengkapan untuk meningkatkan kecekapan penjanaan semula tenaga dan mengurangkan beban pemandu turut disediakan.

Antaranya termasuk sistem brek regeneratif-hidraulik, penggalak brek elektrik dan pedal operasi mudah.

Sistem tersebut membolehkan operasi brek terasa lebih semula jadi, termasuk kepada pemandu yang beralih daripada kenderaan petrol kepada EV.

Bagaimanapun, pedal operasi mudah berkenaan tidak ditawarkan untuk spesifikasi tertentu.

Ujian Pemanduan di Pelbagai Persekitaran

Suzuki menjalankan ujian dunia sebenar secara meluas di pelbagai persekitaran termasuk kawasan bandar dan jalan berliku di Eropah serta rantau lain.

Data yang diperoleh digunakan untuk mengoptimumkan kawalan penghantaran kuasa dan talaan casis mengikut keadaan jalan serta keperluan pelanggan di pasaran utama global.

Hasilnya, Ignis menawarkan pengalaman pemanduan yang meyakinkan, termasuk bagi pemandu yang baru beralih kepada kenderaan elektrik.

Model ini turut menawarkan ciri pemanduan senyap dan pecutan lancar yang menjadi kelebihan kenderaan elektrik.

Spesifikasi Suzuki Ignis EV (Eropah)

  • Kapasiti bateri: 26kWj
  • Sistem pacuan: 2WD
  • Kuasa maksimum: 67kW
  • Tork maksimum: 133Nm
  • Panjang: 3,570mm | Lebar: 1,565mm | Tinggi: 1,635mm
  • Jarak roda: 2,460mm
  • Kapasiti tempat duduk: 4
  • Radius pusingan minimum: 4.5 meter
  • Kelegaan bumi minimum: 150mm
  • Brek depan: Cakera ventilasi
  • Brek belakang: Leading-trailing
  • Saiz tayar: 175/65R15

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here