Utama Berita Automotif BYD Malaysia rasmi mulakan pemasangan CKD

BYD Malaysia rasmi mulakan pemasangan CKD

3

BYD Malaysia dan Sime Motors rasmi memulakan pemasangan tempatan (CKD) SHARK 6 sebagai model pertama di kemudahan Inokom Corporation (Inokom) di Kulim, Kedah.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma menyatakan Malaysia mempunyai potensi besar untuk BYD, bukan sahaja sebagai pasaran yang semakin berkembang untuk NEV, tetapi dari segi keupayaan industri automotif yang kukuh, tenaga kerja mahir dan peluang untuk terus berkembang.

“Kemudahan CKD ini merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang kami untuk Malaysia dan kami berbesar hati untuk melihat visi tersebut menjadi kenyataan pada hari ini. 

“Bagi kami, langkah ini bukan hanya mengenai pemasangan kenderaan, tetapi juga usaha untuk membina kerjasama yang lebih rapat dengan industri tempatan, berkongsi teknologi dan kepakaran serta mencipta peluang bagi pemindahan ilmu dan kemahiran,” ujarnya. 

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2025, BYD SHARK 6 telah menerima maklum balas yang menggalakkan dan sambutan positif daripada pelanggan tempatan.

Kemasukan BYD SHARK 6 membuka peluang kepada BYD untuk mencapai kumpulan pelanggan baharu serta memperluas penggunaan teknologi elektrik BYD kepada kategori kenderaan yang berbeza.

Selain itu, kerjasama tersebut juga menyokong aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) Malaysia, khususnya dalam usaha membangunkan ekosistem bagi Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), mengukuhkan keupayaan pembuatan tempatan dan menggiatkan penyertaan perniagaan Malaysia dalam rantaian nilai automotif.

Kemudahan Inokom di Kulim, Kedah berkeluasan 200 ekar itu memiliki kapasiti pemasangan tahunan sebanyak 100,000 unit dengan 2,381 pekerja rakyat Malaysia sepenuhnya. 

Majlis perasmian turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob dan Pengarah Urusan Sime Motors, Asia Tenggara, Jeffrey Gan.

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here