Utama Berita Automotif Sah tiru Defender, Mahkamah Belanda haramkan jualan BYD Ti 7 di Eropah

Sah tiru Defender, Mahkamah Belanda haramkan jualan BYD Ti 7 di Eropah

1

Konflik perundangan hak harta intelek antara Jaguar Land Rover (JLR) dan BYD memuncak apabila Mahkamah Daerah The Hague mengeluarkan injunksi sementara mengarahkan 10 anak syarikat BYD menghentikan sebarang urus niaga melibatkan BYD Ti 7 di seluruh Kesatuan Eropah (EU).

Keputusan pada 20 November lalu itu dibuat selepas mahkamah mendapati reka bentuk luaran SUV berkenaan melanggar hak reka bentuk EU berdaftar milik JLR bagi model ikonik Land Rover Defender Type L663 (kes rujukan C/09/712003 / KG ZA 26-956).

Bagaimanapun, anak syarikat BYD di Britain iaitu BYD (UK) Co. Limited terlepas daripada bidang kuasa perintah sekatan tersebut, sekali gus membolehkan rancangan pelancaran serta penghantaran unit kepada pelanggan di United Kingdom (UK) pada Januari 2027 diteruskan buat masa ini.

Melanggar Reka Bentuk ‘Uniemodel 1’ Defender L663

Penghakiman terkini itu menyusul hanya lapan hari selepas perintah mahkamah pada 12 November lalu yang mewajibkan JLR memusnahkan rekod digital rampasan dari pejabat BYD di Schiedam dan Hoofddorp.

Dalam penghakiman awal tersebut, hakim memutuskan bahawa Ti 7 melanggar salah satu daripada enam reka bentuk EU berdaftar milik JLR bagi bahagian luaran Defender Type L663 yang dikenali sebagai Uniemodel 1.

Perlindungan tersebut merangkumi elemen utama melibatkan:

  • Siluet & Perkadaran: Bahu badan yang menonjol, tiang-C tersendiri, arca roda bulat serta kawasan tingkap sisi yang bersambung.
  • Tanggapan Pengguna: Walaupun hujah BYD menyatakan bentuk berkotak dan tingkap tegak turut wujud pada model lain (Ford Flex, Jeep Wrangler, dan Mercedes-Benz G-Class) serta mengetengahkan perbezaan pada lampu utama, jeriji dan bonet. Namun, mahkamah memutuskan perbezaan itu tidak cukup untuk mengubah tanggapan keseluruhan pengguna yang bermaklumat.

Pihak BYD bagaimanapun menolak keras dapatan tersebut dengan menegaskan bahawa model Ti 7 direka bentuk secara bebas dan mengesahkan bakal mengemukakan rayuan rasmi.

Operasi Eropah Disekat, Berdepan Denda Maksimum RM49 Juta

Susulan injuksi berkenaan, mahkamah mengarahkan 10 entiti BYD di Eropah termasuk BYD Auto Hungary yang merancang membina kilang pengeluaran baharu di Szeged agar menghentikan aktiviti mengimport, mengeluar, menjual, menyimpan, menghantar atau berurus niaga melibatkan Ti 7 di seluruh blok EU, berkuat kuasa seminggu selepas keputusan penghakiman.

Sekiranya ingkar, syarikat akan dikenakan denda maksimum EUR100,000 (RM450,380) sehari atau EUR25,000 (RM112,595) bagi setiap unit kenderaan, dengan had maksimum mencecah EUR10 juta (RM45 juta).

Di samping itu, JLR diwajibkan memfailkan prosiding substantif dalam tempoh enam bulan dari tarikh 20 November atau injunksi terbatal secara automatik.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permintaan JLR untuk mendapatkan dokumen yang dirampas, rekod pengedaran, serta notis pembetulan awam memandangkan Ti 7 belum memasuki pasaran EU.

Mengapa Pelancaran UK Terlepas 

Mahkamah Belanda menolak bidang kuasa ke atas BYD (UK) Co. Limited walaupun syarikat itu mengiklan dan menawarkan Ti 7 di laman sesawang British.

BYD UK bukanlah anak syarikat di bawah BYD Europe, dan hakim tidak menemui bukti bahawa syarikat Belanda tersebut mengawal aktiviti di Britain.

Justeru, persoalan sama ada SUV itu melanggar reka bentuk JLR di UK perlu dibawa ke mahkamah British.

Sementara itu, JLR turut meneruskan kes berasingan terhadap BYD di Mahkamah Daerah Rotterdam atas dakwaan pelanggaran hak cipta dan peniruan bulat-bulat, dengan sesi pendengaran dijadualkan pada 25 November 2026.

Untuk rekod, JLR memiliki sejarah turun naik dalam pertempuran hak cipta reka bentuk di peringkat global:

  1. Kemenangan Di China (2019): Mahkamah Beijing menyebelahi JLR menentang Jiangling Motor apabila model Landwind X7 didapati meniru lima ciri Range Rover Evoque, sekali gus mengarahkan jualan dihentikan serta bayaran ganti rugi CNY1.5 juta.
  2. Kekalahan Di Britain (2020): Mahkamah Tinggi UK menolak rayuan JLR mendaftarkan bentuk klasik Defender sebagai tanda dagangan 3D susulan bantahan Ineos, membuka laluan kepada pengeluaran Ineos Grenadier.
  3. BMW vs Shuanghuan: Mahkamah Munich pernah mengekalkan larangan jualan terhadap SUV Shuanghuan SCEO kerana menyerupai BMW X5.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here