Utama Berita Automotif BYD Ti7 untuk UK dan dunia, Fangchengbao Tai 7 di China, gaya...

BYD Ti7 untuk UK dan dunia, Fangchengbao Tai 7 di China, gaya ala SUV Inggeris

5

BYD mengesahkan Ti7 untuk pasaran United Kingdom (UK) dan juga bakal ditawarkan untuk pasaran antarabangsa. Di China, Ti7 dikenali sebagai Fangchengbao Tai 7.

SUV ini dibangunkan untuk keluarga besar serta pengguna yang mahukan gabungan ruang luas, teknologi elektrifikasi dan prestasi tinggi.

Rekaan rugged dan kabin premium

BYD Ti7 menampilkan rekaan berkotak dengan imej rugged yang menyerlah menerusi badan tinggi, garis bahu tegas serta bahagian belakang hampir menegak.

Sekali pandang, dapat dilihat Ti7 mendapat inspirasi daripada SUV Inggeris dan menjadi trend untuk SUV daripada China.

Di bahagian hadapan, SUV ini menerima bampar bawah dengan kemasan titanium kontras bersama lampu LED dua lapis yang membentuk identiti utama model flagship BYD untuk UK.

Rekaan luaran lain termasuk lengkung arca roda besar, permukaan badan bersegi serta ruang kaca luas yang mengingatkan kepada model off-road premium moden.

Model ini turut menggunakan kotak simpanan belakang luaran berkapasiti 32.5 liter menggantikan tayar gantian luaran seperti pada beberapa model Fangchengbao lain.

Pada bahagian dalam, Ti7 menampilkan susun atur papan pemuka melintang dengan permukaan besar bersegi, pemegang kabin serta stereng dengan jejari tebal.

Rangkaian kuasa DM-p plug-in hybrid

Untuk pasaran UK, BYD Ti7 menggunakan sistem Dual Mode Performance DM-p plug-in hybrid gabungan enjin petrol 1.5 liter turbo bersama dua motor elektrik pacuan semua roda.

SUV ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 4.8 saat dengan kelajuan maksimum 190km/j.

Versi EV di China

Berbeza daripada UK, Fangchengbao Tai 7 di China turut ditawarkan dalam versi EV dalam konfigurasi motor tunggal 408ps dan 365Nm selain dua motor 700ps dan 675Nm.

Pilihan bateri pula terdiri daripada unit 92kWj dan 105.7kWj dengan jarak gerak sehingga 675km dan 755km (CLTC).

Masuk ke Malaysia?

BYD Ti7 masih belum disahkan untuk pasaran Malaysia walaupun model ini sudah diumumkan untuk United Kingdom dan sebagai SUV tujuh tempat duduk antarabangsa.

Kepada yang berminat, BYD baharu sahaja melancarkan SUV premium DENZA B8 yang merupakan SUV off-road mewah dengan saiz lebih besar dan menumpukan kepada keupayaan lasak.

Di China, DENZA B8 dikenali sebagai Fangchengbao Bao 8. Ti7 menggunakan kerangka unibody manakala B8 lebih lasak dengan ladder frame.

DENZA B8 menggunakan Platform DMO Super Hybrid yang menggabungkan enjin turbo 2.0 liter, dua motor elektrik serta bateri BYD Blade 36.8kWj.

Jarak pemanduan elektrik sehingga 115km (NEDC) dan jarak gabungan petrol dan elektrik sehingga 1,040km (NEDC).

Kuasa yang dihasilkan setinggi 612 ps (450kW) dan 760Nm, dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 120kW serta fungsi Vehicle to Load (V2L) 6.6kW.

Dari aspek casis, B8 dilengkapi sistem DiSUS-P yang menawarkan pelarasan ketinggian sehingga 140mm.

Keupayaan meredah air pula sehingga 890mm, serta sudut depan 34 darjah dan sudut belakang 35 darjah.

Model ini ditawarkan dalam konfigurasi 6 dan 7 tempat duduk, dengan harga bermula RM458,800 hingga RM518,800.

Sumber: BYD, PaulTan

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here