
Pemilik di China melaporkan kejadian separuh aci patah serta dakwaan kerosakan suspensi belakang pada SUV off-road keluaran BYD, model yang kini semakin meluas memasuki pelbagai pasaran luar negara.
Beberapa pemilik Fang Cheng Bao Bao 5 (dikenali di pasaran luar negara sebagai Denza B5 atau Bao 5) di China melaporkan kegagalan komponen separuh aci semasa pemanduan lasak off-road dan di kawasan berpasir.
Video yang dimuat naik di platform Douyin turut memaparkan kenderaan tersebut mengalami kerosakan ketara pada roda dan suspensi belakang ketika berada di jalan raya bandar.
Pemilik Di China Lapor Masalah Half-Shaft & Suspensi

Sebilangan pemilik Bao 5 mendakwa pihak pengedar telah menolak tuntutan jaminan selepas kenderaan mereka mengalami kerosakan separuh aci ketika melakukan aktiviti pemanduan off-road.
Hantaran di media sosial China bertarikh 24 September 2024 dan 6 November 2026 menunjukkan unit Bao 5 mengalami kerosakan pada roda dan suspensi belakang di jalan bandar.
Namun, kedua-dua rakaman tersebut tidak memaparkan sebarang kejadian pelanggaran serta tidak menjelaskan punca sebenar kerosakan dan laporan pemeriksaan mekanikal mahupun penjelasan daripada pihak polis trafik.
Turut tidak dapat dipastikan sama ada kenderaan terbabit pernah mengalami kerosakan terdahulu.
Sehingga 20 November, pihak BYD mahupun badan kawal selia China masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.
Tiada Kempen Panggil Balik

Semakan terhadap rekod awam mendapati tiada sebarang kempen panggil balik berkaitan suspensi atau gandar dikeluarkan untuk Denza B5 setakat ini.
Sebelum ini, BYD pernah memanggil semula 6,843 unit Bao 5 di China pada 24 Januari 2025 membabitkan unit keluaran 16 Oktober 2023 hingga 1 Februari 2024.
Masalah tersebut berpunca daripada bolt sambungan dalaman yang berpotensi longgar pada pengawal dwi-motor bersepadu yang boleh menyebabkan arka elektrik, asap atau kebakaran namun ia langsung tidak berkaitan dengan sistem suspensi mahupun separuh aci.
Dari segi keselamatan pelanggaran, B5 mencatatkan penarafan lima bintang ANCAP di Australia dengan markah 86 peratus bagi perlindungan penumpang dewasa, 95 peratus perlindungan penumpang kanak-kanak, 74 peratus perlindungan pengguna jalan raya rentan, dan 78 peratus untuk bantuan keselamatan.




























