
Tindakan seorang lelaki menawarkan khidmat pembelian tiket bas kepada anggota penguat kuasa yang menyamar sebagai penumpang membawa padah apabila kegiatannya dikesan dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di Larkin Sentral, di Johor Bahru, pada Khamis.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai menghampiri anggota penyamaran di laluan kaki lima bangunan berkenaan sebelum menawarkan perkhidmatan pembelian tiket bas ke Kuala Lumpur.
JPJ Johor dalam kenyataan memaklumkan, operasi menerusi Pasukan Risikan Operasi (R/O), Bahagian Penguatkuasa itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penjualan tiket bas secara tidak sah atau lebih dikenali sebagai ‘ulat tiket’.

Hasil tindakan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 atas kesalahan memujuk dan mendesak.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
JPJ Johor berkata, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di sekitar Larkin Sentral bagi membanteras kegiatan ulat tiket.
Langkah itu bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan melalui penawaran perkhidmatan pengangkutan awam tanpa kuasa yang sah.



























