
Pasukan Polis Bantuan KTMB dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Balai Polis Macang Bubok menahan seorang suspek yang terlibat dalam kes kecurian kabel berhampiran landasan di KM 16.25, antara Bukit Mertajam dan Simpang Ampat, pada Khamis.
Menurut kenyataan, dalam operasi berkenaan dua rakan suspek yang lain melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Dalam pemeriksaan awal, pasukan menemukan satu pemotong kabel, dua bilah parang dan kira-kira 50 meter kabel KTMB yang telah dipotong. Suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Pihak KTMB menyatakan akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bagi melindungi infrastruktur landasan serta memastikan operasi tren berjalan lancar.
“Orang ramai yang melihat aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan & Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 (24 jam) atau melaporkannya kepada PDRM,” menurut kenyataan.





























