Utama Berita Automotif Gordon Ramsay sah jadi hos baharu Top Gear, siri kembali bersiaran pada...

Gordon Ramsay sah jadi hos baharu Top Gear, siri kembali bersiaran pada 2028

1

Selepas beberapa tahun berehat, Top Gear akhirnya mengumumkan chef selebriti terkenal dunia, Gordon Ramsay sebagai hos utama siri automotif ikonik BBC itu.

Pengumuman tersebut dibuat oleh BBC dan Top Gear pada 25 November 2026, sekali gus mengesahkan spekulasi mengenai masa depan rancangan yang dihentikan sejak insiden kemalangan melibatkan bekas hos, Andrew “Freddie” Flintoff, ketika sesi penggambaran pada 2022.

Walaupun lebih dikenali sebagai chef dan personaliti televisyen menerusi program seperti Hell’s Kitchen dan Kitchen Nightmares, Ramsay sebenarnya merupakan seorang peminat tegar dunia automotif.

Beliau memiliki lesen perlumbaan, pernah menyertai acara litar dan mempunyai koleksi kereta yang mengagumkan, termasuk model daripada Ferrari, Aston Martin, Porsche, McLaren dan Land Rover.

Ramsay juga bukan nama baharu dalam keluarga Top Gear kerana pernah muncul sebanyak tiga kali sebagai tetamu dalam segmen Star in a Reasonably Priced Car, selain mencatat masa pusingan yang cukup mengagumkan di litar ujian rancangan berkenaan.

Menurut BBC, penggambaran siri baharu itu akan bermula pada 2027 di United Kingdom dan beberapa lokasi antarabangsa sebelum disiarkan pada 2028.

Watak ikonik The Stig turut akan kembali, manakala barisan hos bersama Ramsay masih belum diumumkan.

Dalam kenyataannya, Ramsay berkata minatnya terhadap kereta bermula sejak kecil apabila beliau membesar berhampiran Litar Silverstone.

“Pada tahap terbaiknya, Top Gear sentiasa penuh dengan kejutan, hiburan dan sedikit kekecohan. Itulah semangat yang ingin kami teruskan untuk generasi penonton baharu,” katanya.

BBC turut menjanjikan siri baharu itu akan mengekalkan identiti asal Top Gear menerusi cabaran ekstrem, ujian kenderaan, aksi lagak ngeri serta pengembaraan automotif di seluruh dunia.

Pemilihan Ramsay dilihat sebagai langkah berani BBC untuk menghidupkan semula jenama Top Gear selepas era Jeremy Clarkson, Richard Hammond dan James May, yang kekal dianggap sebagai trio paling ikonik dalam sejarah rancangan tersebut.

Kini persoalannya, mampukah Gordon Ramsay mengembalikan kegemilangan Top Gear dan menarik semula jutaan peminat yang pernah menjadikan rancangan itu antara program automotif paling popular di dunia?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here