Top Gear gandingkan McLaren Speedtail dengan pesawat pejuang F-35 pula!

2130

Siapa masih ingat video lagenda Bugatti Veyron vs Eurofighter Typhoon lebih 10 tahun dulu?

Siapa yang tidak suka melihat supercar berlumba dengan pesawat pejuang, dan tidak hairanlah video itu telah mencatat lebih 36 juta tontonan di Youtube setakat ini.



Kali ini rancangan bersiri popular UK itu “buat hal” lagi, mengulang perlumbaan jentera empat roda berkuasa tinggi dengan pesawat pejuang canggih.

Untuk kali ini, mereka menggandingkan McLaren Speedtail, model terpantas pernah dihasilkan McLaren dengan pesawat F-35 Lightning II yang mempunyai keupayaan VTOL (Vertical Take Off and Landing) atau berlepas dan mendarat secara menegak.

Tetapi sudah pasti untuk perlumbaan dengan McLaren Speedtail ini, F-35 itu akan menggunakan mod berlepas memecut secara mendatar seperti biasa.

McLaren Speedtail pada hujung tahun lepas telah mencatat kelajuan maksima 403km/j di sebuah litar di Amerika Syarikat. Ia dijana enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang dikongsi dengan model-model McLaren lain, tetapi unit pada Speedtail menghasilkan 1,055hp dan 1,150Nm tork.

Lihat sahaja bentuknya yang seperti titisan air atau keretapi peluru (bullet train) itu sudah pasti kita boleh jangkakan kemampuannya mencapai kelajuan tinggi.

Sumber: Defence Blog

Pesawat F-35 Lightning II pula ialah pesawat pejuang pelbagai fungsi dan selain mampu VTOL, ia juga sebuah pesawat stealth moden yang sukar dikesan oleh radar.

Dibangunkan oleh firma Amerika, Lockheed Martin, F-35 dikuasakan oleh enjin Pratt & Whitney F135 yang menghasilkan 40,000 pound (18,144kg) tujahan.

F-35 mampu mencapai kelajuan maksima 1.6 Mach atau 2,000km/j dan mendaki ke ketinggian maksima 50,000 kaki (15,240meter).

Dalam perlumbaan ini, sudah tentu kereta akan mendahului dengan pecutan 0-100 di bawah 3 saat manakala jet pejuang mengambil masa untuk enjinnya mencapai tujahan maksima afterburner dan menolak badannya yang berat ke depan.

Jet pejuang akan mula mengejar dan memotong kereta di kelajuan lebih tinggi.

Sebenarnya belum ada pemenang dalam perlumbaan ini kerana Top Gear hanya menyiarkan pratonton dahulu buat masa ini.

Kami jangkakan bahawa mereka akan menggunakan format sama dengan Veyron vs EF Typhoon dahulu dimana jet pejuang perlu berlepas dan terbang menegak 1 batu ke atas dan turun semula ke garisan permulaan, manakala kereta perlu memecut 1 batu ke hujung landasan, buat pusingan-U dan patah balik ke garisan permulaan.

Sama-sama kita nantikan keputusannya dan kami akan siarkan laporan sebaik sahaja kami mendapat maklumat mengenainya.

Yang mana anda rasa akan menang perlumbaan ini; McLaren Speedtail atau F-35 Lightning II?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here