Utama Berita Automotif Leapmotor syarikat pemula EV China pertama capai 2 juta kenderaan

Leapmotor syarikat pemula EV China pertama capai 2 juta kenderaan

2

Leapmotor mencipta sejarah sebagai syarikat pemula kenderaan tenaga baharu China pertama yang mencapai pengeluaran 2 juta kenderaan, selepas kenderaan ke-2 juta keluar dari barisan pemasangan di pangkalan pembuatan pintar syarikat itu di Jinhua pada 19 November lalu.

Pencapaian itu hadir ketika momentum komersial Leapmotor terus kukuh, dengan penghantaran global mencecah rekod 106,127 unit pada Oktober 2026, bulan keempat berturut-turut melebihi 100,000 unit.

Dari Januari hingga Oktober, Leapmotor menghantar 772,666 kenderaan, meningkat 65.88 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan itu didorong komitmen jangka panjang syarikat terhadap teknologi, kualiti dan kecekapan operasi menerusi keupayaan penyelidikan kendiri bersepadu sepenuhnya serta tahap pembangunan dan pembuatan dalaman yang tinggi.

Model perniagaan itu membolehkan Leapmotor menjadikan teknologi canggih boleh diakses oleh lebih ramai pelanggan, sambil mengekalkan kawalan terhadap kualiti produk dan kos.

Portfolio Leapmotor merangkumi platform A, B, C dan D, daripada kenderaan kompak hingga model utama.

Siri C dan D bersama-sama menyumbang lebih separuh daripada 2 juta kenderaan dikeluarkan, manakala Siri C sahaja menghampiri satu juta jualan kumulatif global.

Kedua-dua C10 dan C11 telah melebihi 350,000 jualan kumulatif global.

Dari segi pasaran global, B10 menjadi antara model terlaris jenama itu di seluruh dunia, manakala B03X yang ditawarkan di luar China sejak Oktober sudah menjadi antara model terlaris dalam segmennya.

Leapmotor menyifatkan pencapaian 2 juta kenderaan itu sebagai lambang kepercayaan pelanggan terhadap gabungan teknologi, kualiti, kepraktisan dan nilai yang ditawarkan, sekali gus menjadi asas kukuh bagi peringkat pertumbuhan global seterusnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here