Ketegangan Amerika-Iran, harga minyak mentah Brent turun lebih 4 peratus

8

Harga minyak mentah Brent susut lebih empat peratus pada Khamis selepas Iran, satu daripada pengeluar minyak terbesar memberi amaran akan bertindak balas terhadap ancaman asing.

Ini susulan peningkatan perhatian antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat (AS) terhadap protes anti-kerajaan di negara berkenaan.

Sehingga 10.22 malam, harga Brent merosot 4.03 peratus kepada USD59.52 setiap tong selepas seorang anggota G7 menyatakan kekal bersedia untuk mengenakan langkah sekatan tambahan sekiranya Iran terus bertindak tegas terhadap protes dan perbezaan pendapat.

Awal hari ini, Presiden AS, Donald Trump tidak menolak untuk mengenakan tindakan ketenteraan berhubung tindakan ganas Iran terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaannya.

Harga minyak mentah Brent dijangka berdepan tekanan menurun berterusan sepanjang 2026 dengan harga dijangka berakhir pada sekitar USS57 setiap tong apabila bekalan tambahan memasuki pasaran minyak global yang sudah berlebihan, kata graduan ekonomi Jack Reid dari firma perundingan global Oxford Economics.

Beliau berkata harga minyak mungkin kembali ke sekitar USD60 setiap tong pada suku pertama tahun ini kerana pasaran tidak menjangka perkembangan geopolitik terkini yang melibatkan Iran dan Venezuela akan menyebabkan gangguan bekalan yang berterusan.

“Kami tidak menjangkakan perubahan berterusan daripada garis dasar kami daripada mana-mana konflik ini seperti yang berlaku dan ketika protes diselesaikan di Iran,” kata Reid.

Reid berkata pada masa ini tiada bukti gangguan dalam data pasaran minyak frekuensi tinggi di Iran, sambil menekankan industri minyak negara itu distrukturkan untuk kekal berdaya tahan di tengah-tengah pergolakan dan sekatan dalaman.

Katanya, tidak mungkin mogok buruh atau gangguan domestik memberi kesan yang ketara terhadap pengeluaran minyak Iran yang kekal agak stabil dan pada paras tinggi sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Reid berkata kesan terhadap pasaran minyak global dijangka kekal terhad kecuali berlaku peningkatan ketara termasuk campur tangan ketenteraan.

Beliau juga berkata pergerakan harga semasa tidak mencerminkan harga pasaran yang mengambil kira kejutan bekalan besar.

Iran merupakan antara pengeluar utama Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sedang berdepan demonstrasi anti-kerajaan terbesar dalam beberapa tahun.

Tindakan keras kerajaan terhadap penunjuk perasaan mengakibatkan ribuan orang ditahan dengan Trump memberi amaran tentang kemungkinan untuk mengambil tindakan ketenteraan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here