
Satu permohonan pendaftaran paten terbaharu Yamaha menunjukkan bagaimana transmisi automatik boleh memainkan peranan penting dalam memaksimumkan fungsi sistem kawalan jelajah adaptif (ACC) berasaskan radar.
Dalam paten terbaharu itu, Yamaha menambah satu lagi fungsi penting iaitu downshift secara automatik untuk sistem ACC.
Ketika ACC sedang aktif dan mengesan kehadiran kenderaan di hadapan, motosikal akan mula membrek untuk mengekalkan jarak yang selamat.
Fungsi downshift automatik pula bertindak seperti naluri penunggang, iaitu untuk menambah brek enjin dan menstabilkan motosikal supaya sesuai dengan kelajuan semasa.
Proses ini kedengaran mudah, namun ia sebenarnya lebih rumit kerana melibatkan pengagihan tekanan brek depan dan belakang bagi mengurangkan kesan enjin brek setiap kali gear direndahkan, serta mengurangkan pemindahan berat berlebihan ke bahagian depan.
Dengan gabungan radar, transmisi automatik dan kawalan elektronik yang harmoni, Yamaha menunjukkan sistem terbaharu ini mampu menjadikan tunggangan yang lebih selamat.
Seperti biasa, teknologi yang mahal dan rumit ini akan diguna pakai pada model-model yang lebih mahal terlebih dahulu sebelum diturunkan kepada model yang lebih mampu milik.
Apa pendapat anda? Adakah ia sesuatu yang patut diwajibkan pada motosikal masa kini?


































