
Grab Malaysia memperkenalkan Group Ride, satu ciri baharu dalam aplikasi Grab yang direka untuk mengoptimumkan mobiliti.
Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan tabiat pengangkutan lebih cekap dan mampan dengan menawarkan cara baharu kepada pengguna untuk mengurangkan kos.
Ciri Group Ride bertumpukan tiga tunjang utama:
- kemampuan
- kecekapan teknologi
- kemampanan
Ia juga bertujuan memperkasa pengguna dengan cara yang lebih pintar untuk “Kongsi Perjalanan, Kongsi Tambang.”
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut mencuba ciri Group Ride bersama beberapa pegawai kementerian di Putrajaya.
Seiring dengan proses urbaninasi Malaysia yang berterusan, Kementerian Pengangkutan (MoT) komited untuk menyokong penyelesaian yang mengurangkan kesesakan jalan raya dan kos sara hidup bagi populasi bandar yang semakin meningkat.
Loke berkata, MoT mengalu-alukan ciri baharu Group Ride selaras dengan seruan #TanggungjawabBersama untuk pengendali e-hailing memperluaskan perkhidmatan kongsi kereta serta mengurangkan kos perjalanan bagi penumpang.
“Gangguan bekalan bahan api akibat konflik di Asia Barat menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada pengangkutan awam untuk menjimatkan kos.
“Justeru, kami menggalakkan pengenalan perkhidmatan yang menyediakan pilihan mobiliti lebih luas kepada pelanggan, serta menyelaras dengan mod pengangkutan lain seperti kereta api komuter untuk mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan kereta persendirian.
“MoT menyokong inisiatif yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penambahbaikan dalam ekosistem pengangkutan.
“Dalam hal ini, kami gembira melihat teknologi Grab membolehkan perancangan laluan lebih pintar, sekali gus membantu rakan pemandu mengoptimumkan masa dan potensi pendapatan semasa memandu serta mengurangkan pembaziran bahan api,” katanya.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti, Grab Malaysia, Rashid Shukor pula berkata, seruan MoT untuk memperluas perkhidmatan kongsi kereta adalah selari dengan ciri baharu Group Ride oleh Grab.
“Penumpang kami telah lama berkongsi perjalanan untuk menjimatkan tambang, terutamanya dalam kalangan rakan sekerja yang berulang-alik ke tempat kerja atau di kalangan rakan yang menghadiri acara yang sama.
“Justeru, kami memperkenalkan Group Ride bagi menangani isu diketengahkan mereka.
“Ciri ini meningkatkan kemampuan, kemudahan dan fleksibiliti bagi penumpang, sekali gus mengurangkan kos perjalanan individu,” jelasnya.
Group Ride membolehkan beberapa penumpang mempunyai laluan perjalanan sama untuk berkongsi satu kenderaan, sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta membawa lebih ramai penumpang ke destinasi masing-masing.
Ciri-ciri utama Group Ride termasuk:
● Kecekapan Kos: Penumpang boleh berjimat sehingga 40 peratus tambang berbanding tempahan secara individu.
● Pembayaran adil dan mudah: Seperti pengalaman Group Order di GrabFood, hos boleh memilih untuk membayar jumlah keseluruhan perjalanan atau berkongsi tambang antara penumpang. Ciri ini membolehkan sama ada pembahagian sama rata atau pembahagian mengikut jarak perjalanan masing-masing.
● Laluan fleksibel: Ciri ini menyokong pelbagai konfigurasi perjalanan, termasuk beberapa titik pengambilan penumpang menuju satu destinasi, atau satu titik pengambilan penumpang menuju beberapa destinasi penurunan.
● Pengoptimuman dipacu AI: Algoritma proprietari Grab menyusun perjalanan bagi memastikan laluan yang paling cekap dari segi masa untuk penumpang dan rakan pemandu.
● Penyelarasan masa nyata: Ciri “Bilik Menunggu” (Waiting Room) yang akan diperkenalkan membolehkan ahli kumpulan menjejak pergerakan kenderaan dan kesediaan penumpang dalam masa nyata.
Walaupun kecekapan menjadi keutamaan, keselamatan penumpang kekal sebagai aspek paling penting.
Tempahan Group Ride diintegrasikan dengan infrastruktur keselamatan sedia ada Grab, termasuk Pusat Keselamatan, butang SOS “Dapatkan Bantuan Kecemasan”, serta teknologi pemantauan perjalanan.
Pengenalan Group Ride adalah langkah praktikal ke arah ekosistem pengangkutan yang lebih pintar di Malaysia.
Dengan membolehkan cara perkongsian perjalanan yang mudah dan tanpa kerumitan, kita bukan sahaja mengurangkan kos sara hidup bagi penumpang, malah turut menyumbang kepada persekitaran yang lebih hijau melalui pengurangan jejak karbon secara kolektif.































