Utama Berita Automotif Subsidi petrol perlu lebih bersasar

Subsidi petrol perlu lebih bersasar

82

Kerajaan disaran menggunakan pendekatan lebih bersasar dalam pelaksanaan semula subsidi petrol RON95 bagi memastikan manfaatnya benar-benar dinikmati golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan kajian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2024, sebanyak 50 peratus isi rumah dalam kategori kaya menikmati kira-kira 75 peratus manfaat subsidi bahan api kerajaan ketika ini.

Ujarnya, keadaan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan menyemak semula kaedah pemberian subsidi berdasarkan tahap pendapatan bagi mengurangkan beban kewangan negara.

“Penjimatan hasil rasionalisasi subsidi itu kemudiannya boleh disalurkan kembali kepada golongan berpendapatan menengah dan rendah,” ujarnya ketika mengulas usaha kerajaan memperincikan mekanisme terbaik bagi menyemak semula subsidi petrol dengan tumpuan kepada golongan T15 dan T20.

Menurut beliau, berdasarkan data sedia ada, pendapatan median isi rumah bagi kumpulan T20 pada 2024 bermula pada RM16,202 iaitu pendapatan pada paras persentil ke-90.

Beliau berkata, taburan median pendapatan isi rumah bagi kumpulan itu menunjukkan persentil ke-91 merekodkan pendapatan RM16,839, diikuti persentil ke-92 (RM17,540), persentil ke-93 (RM18,369) dan persentil ke-94 (RM19,406).

Tambahnya, persentil ke-95 pula mencatat RM20,738, manakala persentil ke-96 sebanyak RM22,302, persentil ke-97 (RM24,778), persentil ke-98 (RM27,681), persentil ke-99 (RM34,566) dan persentil ke-100 sebanyak RM55,034.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan boleh memulakan langkah rasionalisasi subsidi bahan api berdasarkan pendapatan isi rumah bagi memastikan subsidi lebih tertumpu kepada golongan memerlukan.

“Pada masa sama, harga RON95 bersubsidi boleh dikekalkan pada RM1.99 seliter untuk golongan M40 dan B40,” jelasnya. 

Mengulas isu ketirisan akibat aktiviti penyeludupan bahan api, beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan pemantauan secara lebih komprehensif memandangkan wujud perbezaan harga ketara antara bahan api bersubsidi di Malaysia dan negara jiran.

Ujarnya, situasi itu mewujudkan insentif kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menjual bahan api bersubsidi ke negara jiran dan pemantauan penggunaan bahan api melalui MyKad boleh bantu kerajaan kenal pasti aktiviti yang menyalahi undang-undang. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here