
Seorang lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja stesen minyak, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa kerana memiliki dan menggunakan MyKad milik dua rakyat Malaysia untuk tujuan pembelian petrol bersubsidi BUDI95, bulan lalu.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Md Jakir Hossain, 50, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan milik dua individu yang bukan kepunyaannya, tanpa kuasa dan alasan sah bagi tujuan pembelian petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang, pada 8 Februari hingga 22 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah mengenakan denda RM5,000 atau penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan. Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian dialami mangsa daripada kuota petrol bersubsidi mereka.
“Tertuduh mempunyai pilihan untuk memulangkan kad pengenalan berkenaan, namun tetap meneruskan pembelian petrol walaupun mengetahui MyKad itu bukan miliknya,” katanya.
Peguam, Low Carmen yang mewakili tertuduh pula memohon hukuman denda yang ringan atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga dan telah insaf atas perbuatannya.
Berdasarkan ringkasan kes daripada siasatan polis, pengadu yang merupakan pemilik MyKad yang bekerja sebagai akauntan, mendapati baki subsidi BUDI95 miliknya berkurang daripada 94.937 liter kepada 44.637 liter pada 22 April lalu.
Justeru, pengadu mengesyaki kad pengenalannya yang hilang sehari sebelum itu telah disalahgunakan untuk pembelian minyak secara tanpa izin di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang.
Hasil semakan dengan pusat khidmat Budi MADANI berjaya mengesan lima transaksi mencurigakan menggunakan kad itu.
Susulan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tertuduh berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan di bilik sewanya menemui dua kad pengenalan milik pengadu serta seorang lagi individu.






























