
Pelaksanaan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) setakat 23 Jun telah menjimatkan subsidi petrol negara sebanyak RM5.98 juta, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perkongsian di akaun Facebook beliau itu menyatakan sejak pelaksanaan 15 April lalu itu membantu kerajaan menangani beban kewangan ekoran krisis bekalan global.
“Aplikasi SPOT-ME yang merekodkan kehadiran serta catatan tugasan harian telah berjaya berfungsi sebagai mekanisme kawalan digital bagi memastikan integriti perkhidmatan awam kekal terpelihara.
“Dalam Mesyuarat Kerajaan Digital yang saya pengerusikan pada pagi ini, saya dimaklumkan bahawa Malaysia telah dinobatkan di kedudukan ke-13 dunia dalam faktor Infrastruktur Teknologi dalam laporan Indeks Daya Saing Global 2026 yang dikeluarkan oleh IMD baru-baru ini.
“Pencapaian ini adalah lonjakan berganda berbanding kedudukan ke-25 tahun lalu,” tulisnya.
Pada Mei lalu, media melaporkan kerajaan berjaya menjimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan dengan 2.14 juta liter.































