
Keberanian seorang pemandu lori mempertaruhkan keselamatan diri dengan menggunakan kenderaannya bagi menahan sebuah bas ekspres daripada terbabas, mendapat pengiktirafan apabila menerima Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000 daripada kerajaan pada Selasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penghargaan menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu diberikan kepada Wong Tuck Meng, 40 atas tindakan pantas beliau menyelamatkan nyawa 21 penumpang bas dalam kejadian berhampiran Terowong Menora, Perak, pada 15 Jun lalu.
“Oleh kerana kepantasan seorang pemandu, seorang wira yang mengambil tindakan walaupun mungkin membahayakan dirinya sendiri, tindakan itu telah berjaya mengelakkan satu kemalangan tragis dan menyelamatkan ramai nyawa manusia,” katanya.

Mengulas mengenai kronologi kejadian, Loke berkata bas dalam perjalanan dari Kedah menuju ibu negara itu mengalami masalah teknikal dan hilang kawalan sepenuhnya ketika menuruni bukit berhampiran terowong tersebut.
Loke berkata Wong telah bertindak tenang dengan membiarkan bas berkenaan “berpaut” pada kenderaannya bagi memperlahankan impak momentum selepas bas itu merempuh bahagian belakang lorinya.
“Bukan sahaja dapat memperlahankan, malah berjaya memberhentikan bas itu tanpa terbabas menggunakan lorinya dengan merapatkan kenderaan ke arah rel penghadang ketika menuruni bukit,” katanya.
Bagi Wong pula, tindakan spontannya itu dilakukan semata-mata demi memastikan rantaian kenderaan lain di hadapan mereka sempat menyelamatkan diri selain mengelak sebarang kehilangan nyawa.
“Saya hanya terfikir situasi macam itu, seboleh-bolehnya jangan berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian. Jarak bas agak jauh sedikit jadi sempat untuk saya tekan hon bagi memberi masa kepada kereta-kereta di depan menyelamatkan diri,” katanya.
Pemandu bas berkenaan, Ahmad Yasin Ab. Malek, 41 turut hadir dalam majlis tersebut.
Minggu lalu, sebuah video tular apabila Wong menjadikan lorinya sebagai benteng untuk menahan sebuah bas ekspres yang dipercayai hilang kawalan di Terowong Menora.

































