Utama Berita Automotif Lexus TX1: Pikap mewah Lexus yang wujud di dunia nyata

Lexus TX1: Pikap mewah Lexus yang wujud di dunia nyata

3

Idea sebuah pikap premium berlogo Lexus sudah lama menjadi perbualan dalam industri automotif.

Namun sehingga kini, Lexus tidak pernah berminat menghasilkan versi mewah bagi Toyota Tacoma atau Tundra.

Walaupun begitu, syarikat modifikasi dari Amerika Syarikat, Meso Customs telah merealisasikan idea tersebut menerusi sebuah projek khas yang dibina untuk acara SEMA 2026.

Dikenali sebagai Lexus TX1, model unik ini mungkin kelihatan seperti hasil grafik komputer, namun ia sebenarnya sebuah kenderaan sebenar.

Projek tersebut bermula kira-kira setahun lalu, diinspirasikan oleh rekaan digital yang dihasilkan oleh artis CGI, Lukemadevids.

Bagi menjayakannya, Meso Customs membeli sebuah Toyota Tacoma sebagai asas pembinaan sebelum menggabungkan komponen daripada Lexus GX 550 bersama pelbagai bahagian yang dicetak menggunakan teknologi pencetak 3D.

Menurut mereka, Toyota Tundra tidak dipilih kerana dimensinya yang terlalu besar dan tidak sepadan dengan proporsi Lexus GX.

Bahagian hadapan dan belakang Tacoma dipotong sepenuhnya bagi membolehkan komponen baharu dipasang.

Menggunakan fail CAD dan teknologi pencetak 3D, pasukan tersebut menghasilkan pelbagai panel badan khas termasuk fender ultra lebar dengan kemasan warna badan.

Jeriji hadapan, lampu utama dan bonet diambil terus daripada Lexus GX 550, manakala bampar hadapan diubah suai bagi menyesuaikan dengan badan yang lebih lebar.

Pintu dan struktur tingkap masih menggunakan komponen asal Tacoma, tetapi cermin sisi kini dipinjam daripada Lexus.

Bahagian belakang menerima ubah suai paling ketara dengan pemasangan lampu LED penuh merentasi keseluruhan lebar badan serta tailgate khas yang dihasilkan daripada pintu belakang Lexus GX yang telah dipotong dan diubah suai.

Lebih menarik, tailgate tersebut bukan sekadar elemen kosmetik.

Ia menggunakan sistem kunci daripada Rivian dan boleh berfungsi sebagai bangku tempat duduk belakang lengkap dengan dua tempat duduk berpemanas serta pembesar suara Bluetooth terbina dalam.

Bukan sekadar menukar rupa luaran, Meso Customs turut meningkatkan keupayaan lasak TX1.

Model berasaskan casis ladder-frame itu kini menggunakan rim beadlock yang dipadankan dengan tayar Toyo Open Country R/T Trail bersaiz besar.

Di sebalik rim tersebut tersembunyi sistem brek yang turut dinaik taraf untuk mengendalikan prestasi tambahan.

Sistem suspensi pula menggunakan penyerap hentak King Off-Road Racing Shocks bersama lengan kawalan atas 74 Weld, sekali gus meningkatkan kelegaan tanah (ground clearance) dengan ketara.

Bagi meningkatkan penglihatan ketika pemanduan lasak waktu malam, lampu LED tambahan dipasang pada bumbung, bampar hadapan dan bahagian bawah tiang-A.

Kesemuanya dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) berwarna kuning yang diinspirasikan daripada Lexus GX.

Walaupun ruang kabin masih belum didedahkan, sebuah pikap Lexus sudah tentu perlu menawarkan material dan kemasan yang lebih premium berbanding Toyota untuk benar-benar layak membawa lencana Lexus.

Di bawah bonet, enjin asal Tacoma iaitu 2.4 liter empat silinder turbo menerima beberapa peningkatan termasuk sistem kemasukan udara SXTH Element CPLT serta intercooler hadapan yang lebih besar.

Menariknya, Meso Customs sebelum ini pernah menghasilkan sebuah Tacoma berkuasa Dodge Hellcat V8 dengan wajah Toyota Tundra untuk SEMA tahun lalu, membuktikan mereka mempunyai kepakaran melakukan penukaran enjin berskala besar.

Meso Customs menegaskan bahawa Lexus TX1 dibina sebagai projek konsep khas dan bukannya pakej penukaran yang akan ditawarkan secara komersial.

Walau bagaimanapun, kewujudan TX1 membuktikan bahawa sebuah pikap Lexus bukanlah sesuatu yang mustahil.

Asalkan mempunyai bajet yang mencukupi, impian memiliki sebuah Lexus dengan ruang kargo belakang kini boleh menjadi kenyataan.

 

 
 
 
 
 
View this post on Instagram
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Jeron | 📹🏃🏽 (@jd.mediarunner)

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here