Utama Berita Automotif JIM rampas trak pikap, tahan lelaki Pakistan salah guna logo

JIM rampas trak pikap, tahan lelaki Pakistan salah guna logo

246

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang dipercayai individu di dalam video tular menggunakan kenderaan dengan logo JIM bersama lampu mata arah. 

Menurut Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, suspek ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63 pada Ahad.

“Susulan daripada tangkapan tersebut, pasukan operasi terus mengesan sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang dipercayai digunakan di dalam video tular tersebut.

“Trak pikap tersebut diletakkan di sebuah kedai cuci kenderaan yang terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur dan JIM menahan pemilik sebenar kenderaan yang merupakan seorang warganegara Pakistan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Hasil siasatan awal, beliau berkata pemilik kenderaan mengakui memasang logo JIM dan lampu mata arah tersebut untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi dan mendakwa tidak mengetahui ia menjadi kesalahan undang-undang.

“Pemilik tersebut juga menyatakan logo JIM dan lampu mata arah tersebut telah dibuang sebelum video tersebut tular lagi. Kesemua yang ditahan berserta kenderaan yang tular dalam video dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambah Zakaria, video tersebut diambil pada bulan April 2025 dan baru dimuat naik dalam status Whatsapp oleh isteri individu dalam video yang merupakan warga Indonesia pada 7 Ogos lalu.

Jelasnya, isteri kepada individu tersebut berada di Indonesia dan video tersebut dimuat naik ketika isterinya di negara berkenaan. 

Dalam operasi berkenaan, JIM turut menemukan seorang wanita warganegara Indonesia yang didapati telah tinggal lebih masa serta dua naskhah pasport warganegara Indonesia yang dipercayai milik individu lain dalam milikan lelaki warganegara Pakistan berkenaan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here