
“Saya cuba jelaskan ada kereta berhenti secara cemas di hadapan, sebab itu saya terpaksa mengelak. Tapi dia terus marah dan bertindak agresif.”
Demikian kenyataan pemandu Ferrari, Tiang How Soon, 40, yang tampil menceritakan kejadian sebenar berhubung video pergaduhan tular melibatkan dirinya dengan seorang pemandu Perodua Aruz di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Nilai, baru-baru ini.
Bercakap dalam satu sidang media khas di Biro Aduan Awam DAPSY Selangor pada Ahad, ahli perniagaan berkenaan menjelaskan bahawa ketika kejadian, beliau sedang memandu bersama isteri dan anaknya yang berusia empat tahun dalam perjalanan ke Melaka.
Kronologi Kejadian: Elak Kemalangan Lebih Besar

Menurut How Soon, tindakan beliau menukar lorong secara mendadak terpaksa dilakukan demi mengelakkan rempuhan ke atas sebuah kenderaan lain yang berhenti secara mengejut di hadapannya.
“Saya cuba brek tetapi saya risau tidak sempat berhenti dan melanggar kereta di depan. Jadi, untuk elak kemalangan lebih besar, saya tukar lorong. Saya tengok cermin sisi, saya nampak Aruz itu ada jarak lebih kurang dua ke tiga buah kereta di belakang.
“Saya berhenti di lorong tengah dan apabila kereta dia sampai, tidak ada sebarang kemalangan pun yang berlaku. Tetapi dia tiba-tiba marah-marah dan menjerit ke arah bahagian penumpang saya,” katanya.
How Soon menegaskan bahawa beliau bersama keluarga bukannya berlumba atau memandu secara melulu, sebaliknya hanya ketinggalan daripada konvoi selepas berhenti di sebuah stesen minyak.
Keadaan bertambah tegang apabila pemandu Aruz terbabit didakwa terus mencarut dan memaki hamun, walaupun How Soon sudah merayu agar lelaki terbabit bertenang memandangkan anak kecilnya yang berusia empat tahun berada di dalam kereta dalam keadaan ketakutan.
“Saya turun dari kereta dan ketika itu ada beberapa orang lain yang cuba membantu meleraikan keadaan. Tetapi tiba-tiba dia bertindak memukul, menyepak, dan menumbuk muka saya,” katanya yang kesal dengan tindakan fizikal itu.
Insiden tersebut bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan kesan trauma mendalam kepada anak bongsunya selain mencetuskan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif masyarakat berikutan rakaman video yang tular secara sekerat di media sosial.
How Soon berharap insiden itu dapat menjadi iktibar dan pengajaran berguna buat semua pengguna jalan raya agar tidak mudah mengikut hawa nafsu dan emosi semasa memandu.
“Saya tengok dalam kereta dia pun ada keluarga dan membawa anak kecil. Sepatutnya perkara ini boleh berbincang secara baik. Kalau sebab kes kecil macam ini dia pukul orang sampai berdepan hukuman penjara, berbaloikah? Kasihan pada keluarga dia nanti.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana polis sedang menjalankan siasatan. Sebagai seorang bapa yang ada keluarga, saya juga tidak mahu keluarga dia bermasalah disebabkan tindakan emosi tersebut,” katanya.
Polis Kesan Pemandu Perodua Aruz
Media sebelum ini melaporkan pihak polis sedang mengesan pemandu Perodua Aruz terbabit bagi membantu siasatan kes pukul dan kekerasan di jalan raya.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya mengesahkan pihaknya menerima laporan rasmi berhubung insiden pergaduhan tersebut pada jam 6.40 petang daripada salah seorang pemandu yang terlibat dan kes kini disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.































