Utama Berita Automotif Caj RM100 sebulan, sindiket van haram warga asing terbongkar

Caj RM100 sebulan, sindiket van haram warga asing terbongkar

10

Taktik sekumpulan warga asing menjadikan perkhidmatan van haram sebagai pengangkutan harian ke tempat kerja terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 60 individu dalam operasi khas di Kajang dan Putrajaya, Isnin lalu.

Operasi pemintasan yang dijalankan pasukan penguatkuasa JIM berjaya menyekat tujuh buah van yang membawa penumpang warga asing di sekitar laluan Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang hingga ke Putrajaya.

Siasatan mendapati setiap penumpang warga asing terbabit dikenakan bayaran caj bulanan sebanyak RM100 seorang bagi perkhidmatan ulang-alik ke tempat kerja.

Menurut kenyataan pada Rabu, pemeriksaan mendapati enam daripada van berkenaan dipandu warga asing terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia.

“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah selain tidak memiliki lesen memandu kompeten yang sah, manakala ada yang menggunakan lesen memandu percubaan.

“Siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing berkenaan mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van yang disyaki warganegara Malaysia untuk menjalankan perkhidmatan tersebut,” jelasnya. 

Pihak JIM turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu dan pemilik salah sebuah van. 

Kesemua enam pemandu warga asing dan lelaki tempatan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Susulan itu, pihak JIM sedang mengesan pemilik kenderaan lain yang terlibat bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

Tambahnya, pemeriksaan terhadap penumpang membawa kepada penahanan 53 warga asing melibatkan 44 warga Indonesia, lapan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah. 

“Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut,” ujarnya.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here