
BMW M memperkenalkan edisi khas 100 Years of Nürburgring bagi meraikan ulang tahun ke-100 litar Nürburgring pada 2027.
Edisi ini melibatkan enam model BMW M, iaitu BMW M2, BMW M3 Sedan, BMW M3 Touring, BMW M4 Coupé, BMW M5 Sedan dan BMW M5 Touring.
Bersama tiga model BMW Motorrad M, keseluruhan edisi ini merangkumi sembilan model berprestasi tinggi.
Kesemua model menerima kemasan Nürburgring Green yang dibangunkan khas, selain elemen reka bentuk berkaitan Nürburgring dan logo ulang tahun 100 tahun.
Litar Nordschleife sepanjang 20.8 km dengan 73 selekoh ini amat bermanfaat buat BMW.
Nordschleife digunakan sebagai litar pembangunan, penanda aras dan tempat menguji sistem seperti casis, rangkaian kuasa, aerodinamik, brek serta pengurusan haba.
Enam model BMW M
Kesemua model edisi 100 Years of Nürburgring menggunakan tema yang sama sebagai penghormatan kepada litar yang dibuka pada 18 Jun 1927.
BMW M2 menjadi model paling kompak dalam edisi ini dan dilengkapi bumbung gentian karbon M, kerusi bucket gentian karbon M serta grafik khusus.
BMW M3 Sedan pula menggabungkan kegunaan harian dengan ciri berorientasikan litar.
Model ini menerima bumbung gentian karbon M, grafik Nürburgring serta kemasan hijau pada roda.
BMW M3 Touring menampilkan gabungan prestasi dan praktikaliti.
Model ini menggunakan bumbung keluli dengan jalur reka bentuk khusus serta roda Styling 826 M dengan aksen Nürburgring Green.
Bagi BMW M4 Coupé, ciri edisi termasuk bumbung gentian karbon M, grafik khusus serta roda Styling 826 M dengan aksen Nürburgring Green.
BMW M5 Sedan menggunakan sistem pacuan M HYBRID bersama enjin V8.
Model ini menerima bumbung gentian karbon M, roda Styling 951 M dengan riasan hijau dan sulaman bentuk Nordschleife warna hitam pada penyandar kepala hadapan.
BMW M5 Touring pula turut menggunakan sistem pacuan M HYBRID.
Wagon ini menggunakan bumbung keluli dengan jalur reka bentuk eksklusif dan roda Styling 951 M bersama jalur hijau.
BMW M Ignite
Satu ciri teknikal utama bagi model dengan enjin enam silinder sebaris ialah teknologi BMW M Ignite.
Sistem penyalaan pre-chamber yang dipatenkan BMW ini digunakan pada enjin BMW M2, BMW M3 dan BMW M4 mulai Julai dan Ogos 2026.
Teknologi itu meningkatkan kecekapan terutama ketika beban tinggi, mengurangkan penggunaan bahan api dalam keadaan di litar.
Turut membantu dari segi memenuhi keperluan emisi Euro 7 tanpa mengurangkan prestasi.
Reka bentuk khas Nürburgring
Reka bentuk edisi ini menggunakan logo “100 Years”, tulisan “Nürburgring since 1927” dan gayaan bentuk Nürburgring.
Pada model BMW M, grafik edisi diletakkan pada bahagian seperti pintu hadapan, tiang C dan panel sisi belakang bergantung kepada model. Jalur khusus turut digunakan pada bumbung.
Warna Nürburgring Green menjadi kemasan utama, manakala Sapphire Black metallic turut ditawarkan sebagai pilihan bagi model BMW M dengan riasan hijau.
Di dalam kabin, model-model BMW M menggunakan kemasan hitam dengan jahitan berkontras hijau dan putih.
BMW M2, M3 dan M4 menerima stereng M Alcantara dengan jahitan sepadan serta penanda pukul 12.
BMW M5 pula menggunakan stereng M dengan reka bentuk jahitan yang sama.
Tempahan bermula September 2026
BMW M3 Sedan, BMW M3 Touring, BMW M4 Coupé, BMW M5 Sedan dan BMW M5 Touring boleh ditempah bermula September 2026.
BMW M2 pula akan menyusul pada Januari 2027.





































