
BMW Motorrad menyambut ulang tahun Nürburgring yang ke-100 dengan tiga model M edisi khas, iaitu M 1000 RR, M 1000 R dan M 1000 XR.
Kesemuanya dihadkan unit produksi kepada 100 unit dan ditawarkan dalam warna eksklusif Nürburgring Grün.
Selain pakej warna eksklusif Nürburgring Grün, ketiga-tiga model itu turut mendapat pakej M Track yang terdiri daripada rim karbon, penutup karbon, winglet, tuil brek & klac buatan khas serta set pemijak kaki untuk pelumba.
Selain itu, terdapat juga aksesori seperti M Cover Kit (untuk kegunaan litar), karpet motosikal edisi ulang tahun, stand belakang lengkap dengan cagak lengan ayun, dan sijil ketulenan edisi terhad.
Tidak ketinggalan, penutup kotak udara membawakan grafik ulang tahun serta label “one of 100”, sementara tempat duduk pula membawakan gaya Alcantara dengan sulaman “100”.
Rim karbon yang disebutkan tadi mendapat jalur aksen hijau Nürburgring, sementara lengan ayun belakang dan rangka belakang dilayangkan warna hitam.
BMW M 1000 RR merupakan superbike tulen untuk kegunaan litar, dengan kuasa 218 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm pada 11,100 rpm membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 314 km/j.
BMW M 1000 R pula merupakan sebuah hyper naked yang mengekalkan enjin RR, kuasa 210 hp pada 13,750 rpm namun pada kelajuan maksimum 280 km/j.
BMW M 1000XR pula menggabungkan prestasi M dengan ergonomik tunggangan yang disesuaikan untuk perjalanan jauh, membawakan prestasi 201 hp pada 14,600 rpm dan kelajuan maksimum 275 km/j.



































