Utama Berita Automotif BMW M 1000 RR 2027 guna rangka M Motorsport, BMW Motorrad tak...

BMW M 1000 RR 2027 guna rangka M Motorsport, BMW Motorrad tak abai model lain

4

BMW Motorrad mengumumkan kemas kini bagi model tahun 2027 yang membabitkan hampir keseluruhan rangkaian motosikalnya.

Model dalam spesifikasi baharu itu boleh ditempah di semua pengedar BMW Motorrad di Eropah bermula Ogos 2026.

Penambahbaikan yang ditawarkan merangkumi peningkatan prestasi, pilihan warna baharu, kelengkapan standard, aksesori pemasangan kilang, serta pakej pilihan yang dikemas kini.

BMW M 1000 RR Terima Rangka Generasi Baharu

Perubahan paling besar membabitkan BMW M 1000 RR yang menerima rangka M Motorsport generasi ketiga sebagai kelengkapan standard.

Rangka baharu itu menawarkan ciri fleksibiliti (flex) yang dipertingkat, selain tahap kekakuan (stiffness) dan fleksibiliti ditala dengan lebih tepat bagi menghasilkan prestasi casis optimum serta cengkaman maksimum.

Antara penambahbaikan utama adalah:

  • Rangka M Motorsport generasi ketiga.
  • Berat rangka dikurangkan kira-kira 1.3 kilogram.
  • Ketebalan dinding rangka dikurangkan sekitar 30 peratus.
  • Tahap kekakuan dan fleksibiliti ditala semula bagi meningkatkan prestasi casis serta cengkaman maksimum.
  • M Forged Wheels kini menjadi kelengkapan standard, manakala M Carbon Wheels ditawarkan sebagai pilihan.

BMW Motorrad turut menamatkan penawaran M Competition Package. Pakej tersebut kini digantikan dengan dua pilihan baharu:

  • M Track Package: Merangkumi M Endurance Chain, Carbon Package, M Billet Package serta M Carbon Wheels.
  • M Track Package II: Menggabungkan M Endurance Chain, Carbon Package dan M Billet Package.

M Track Package Turut Diperkenalkan Pada M 1000 XR dan M 1000 R

Perubahan sama diperluaskan kepada BMW M 1000 XR dan BMW M 1000 R.

Kedua-dua model ini kini menerima pilihan M Track Package dan M Track Package II, sekali gus menggantikan M Competition Package yang tidak lagi ditawarkan.

M Track Package merangkumi M Laptrigger, Carbon Package, M Billet Package serta M Carbon Wheels, manakala M Track Package II mengekalkan M Laptrigger, Carbon Package dan M Billet Package.

S 1000 RR, F 900 XR, F 900 R dan S 1000 R Turut Dikemas Kini

BMW S 1000 RR 2027

Bagi BMW S 1000 RR, model itu menerima Style Edition M Sport dengan skema warna baharu Blackstorm Metallic/M Motorsport, dipadankan bersama cermin angin gelap (tinted windscreen) serta M Forged Wheels.

Pilihan warna Sport/Bluestone Metallic pula digugurkan.

Selain itu, slot pengecasan USB kini dimasukkan ke dalam Dynamic Package dan Edition M Sport.

Pada masa yang sama, M Package menerima kemas kini spesifikasi baharu yang menampilkan M Forged Wheels sebagai kelengkapan standard, manakala M Carbon Wheels pula ditawarkan sebagai komponen pilihan.

BMW S 1000 RR 2027

Model lain yang turut menerima penambahbaikan ialah:

  • F 900 XR dan F 900 R kini didatangkan dengan Comfort Package yang merangkumi M Endurance Chain.
  • S 1000 R menerima slot pengecasan USB sebagai sebahagian daripada Comfort Package.

R 1300 R dan R 1300 RS Lebih Praktikal

BMW Motorrad juga menambah baik aspek praktikal menerusi model R 1300 R dan R 1300 RS.

Bagi R 1300 R, pemegang kotak sisi (case holder) kiri dan kanan kini boleh dipilih sebagai aksesori pemasangan kilang, selain pengenalan pakej Touring baharu.

Touring Package tersebut merangkumi:

  • Pemegang kotak sisi kiri dan kanan.
  • Sistem kunci berpusat.
  • Tongkat tengah.

Sementara itu, R 1300 RS turut menerima pilihan pemegang kotak sisi bagi varian Style Performance.

K 1600 dan R 12 G/S Terima Pilihan Warna Baharu

BMW K 1600 GT 2027

Rangkaian motosikal jelajah K 1600 GT, K 1600 GTL, K 1600 Bagger dan K 1600 Grand America menerima kemasan Style Edition II dengan skema warna baharu Imperial Blue Metallic selain emblem khas K 1600 Edition.

Bagi K 1600 GT, warna Option 719 Blue Ridge Mountain Metallic telah digugurkan.

Varian Style Edition II bagi model ini kini menampilkan rim Design Option Wheels dengan jalur kuning (wheel tape) serta pelana berwarna hitam-kuning.

Untuk K 1600 GTL, pilihan warna Option 719 Blue Ridge Mountain Metallic dan Exclusive Gravity Blue Metallic dihentikan.

BMW K 1600 GTL 2027

Sebagai ganti, model ini menerima pelana Option 719 hitam yang baharu bersama rim Option 719 Forged Wheels.

Sementara itu, K 1600 Bagger dan K 1600 Grand America turut menerima kemasan Style Edition II dalam warna Imperial Blue Metallic menerusi pakej K 1600 Edition.

BMW K 1600 B 2027

Langkah ini sekali gus menggantikan warna Option 719 Ionic Silver Metallic yang telah digugurkan.

Bagi BMW R 12 G/S, model tersebut menerima pilihan kemasan Option 719 dan Option 719 II dalam warna Frozen Brooklyn Grey Metallic, menggantikan warna Option 719 Sandrover Uni matt sebelum ini.

BMW K 1600 Grand America 2027

Fokus Kemas Kini Model 2027

Secara keseluruhan, kemas kini model tahun 2027 lebih memfokuskan kepada penambahbaikan spesifikasi, pakej aksesori, pilihan warna dan prestasi tanpa membabitkan pengenalan model serba baharu.

Perubahan paling signifikan sudah tentu membabitkan BMW M 1000 RR menerusi penggunaan rangka generasi baharu yang lebih ringan.

BMW R 12 G/S 2027

Selain itu, pengenalan M Track Package ditawarkan sebagai pengganti kepada M Competition Package.

Langkah ini sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan konfigurasi kepada pelanggan mengikut keperluan tunggangan mereka.

BMW M 1000 RR 2027

BMW S 1000 RR 2027

BMW K 1600 GT 2027

BMW K 1600 GTL 2027

BMW K 1600 B 2027

BMW K 1600 Grand America 2027

BMW R 12 G/S 2027

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here