
Jenama Proton e.MAS meneruskan momentum cemerlang dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) apabila merekodkan 17,604 pendaftaran bagi portfolio modelnya bagi tempoh separuh pertama tahun ini sehingga Jun 2026.
Prestasi itu diperkukuhkan lagi dengan 3,026 pendaftaran dicatatkan pada bulan lalu, sekali gus mencerminkan penerimaan pengguna semakin meningkat terhadap penyelesaian mobiliti berkuasa elektrik yang ditawarkan PRO-NET.
Pemacu utama kepada pertumbuhan itu adalah Proton e.MAS 7 PHEV yang kini muncul sebagai model PHEV nombor satu di Malaysia selepas merekodkan 1,138 pendaftaran pada Jun, menjadikan jumlah pendaftaran tahun ini (YTD) meningkat kepada 4,074 unit.
Sejak dilancarkan pada Februari lalu, Proton e.MAS 7 PHEV menerima lebih 11,000 tempahan, sekali gus membuktikan keyakinan pengguna terhadap model dwikuasa yang menawarkan gabungan kecekapan, fleksibiliti dan praktikaliti untuk kegunaan harian.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, Proton e.MAS 7 PHEV berjaya mengatasi jangkaan syarikat selain menunjukkan rakyat Malaysia semakin bersedia menerima penyelesaian mobiliti elektrik yang praktikal serta memenuhi keperluan gaya hidup harian.
“Proton e.MAS 7 PHEV melepasi jangkaan kami dan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin bersedia menerima penyelesaian mobiliti berkuasa elektrik yang praktikal serta memenuhi keperluan gaya hidup seharian.
“Pencapaian lebih 11,000 tempahan dalam beberapa bulan selepas pelancarannya, di samping lebih 4,000 pendaftaran YTD, membuktikan peningkatan keyakinan terhadap jenama Proton e.MAS.
“Pada masa sama, ia mencerminkan komitmen kami untuk terus menyediakan penyelesaian mobiliti inovatif yang menyokong setiap fasa perjalanan elektrifikasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain model PHEV itu, Proton e.MAS 5 turut mengekalkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan 1,309 pendaftaran pada Jun, sekali gus menyumbang kepada peningkatan penerimaan jenama Proton e.MAS dalam kalangan pengguna tempatan.
Bagi Proton e.MAS 7 pula, model EV itu mencatatkan 579 pendaftaran pada Jun dengan jumlah keseluruhan tahun ini meningkat kepada 2,864 unit, manakala lebih 11,542 unit kini berada di jalan raya Malaysia sejak diperkenalkan pada Disember 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Proton e.MAS 7 Premium Plus yang diperkenalkan pada Pameran Mobiliti Kuala Lumpur 2026 tampil sebagai varian baharu yang menawarkan tahap keselesaan dan kemewahan lebih tinggi menerusi kerusi urutan hadapan berkembar, kerusi penumpang hadapan berkuasa dengan fungsi memori serta tempat rehat kaki penumpang bersepadu.
Varian itu turut dilengkapi kapasiti bateri lebih besar serta keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 115kW yang membolehkan pengecasan daripada 30 hingga 80 peratus dalam tempoh kira-kira 20 minit, selain menawarkan jarak pemanduan sehingga 450 kilometer mengikut kitaran WLTP.
Bagi meningkatkan lagi manfaat kepada pelanggan, semua varian Proton e.MAS 7 kini ditawarkan bersama Rebat Pelancaran Khas bernilai RM7,000 untuk tempoh terhad, menjadikan harga varian Prime bermula RM96,800 manakala varian Premium Plus ditawarkan pada harga RM118,800, tidak termasuk insurans.

































