
BMW Motorrad memperkenalkan BMW M 1000 RS, sebuah motosikal hyper naked yang didakwa sebagai model paling berkuasa dalam segmennya di dunia.
Menggunakan enjin superbike daripada BMW M 1000 RR, model ini menghasilkan kuasa maksimum 218hp dengan berat hanya 185kg tanpa bahan api.
BMW M 1000 RS akan dihasilkan secara terhad kepada 1,000 unit untuk pasaran seluruh dunia.
Model ini dijadualkan mula ditawarkan menerusi pengedar BMW Motorrad pada Mac 2027.
Enjin 999cc, Kuasa 218hp
BMW M 1000 RS menggunakan enjin empat silinder sebaris 999cc dengan sistem penyejukan cecair yang diambil daripada BMW M 1000 RR.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 218hp pada 14,500rpm dan tork puncak 113Nm pada 11,000rpm.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac jenis multi-disc anti-hopping wet clutch. Sistem pacuan roda belakang menggunakan rantai.
Dengan berat 185kg tanpa bahan api, BMW M 1000 RS menawarkan nisbah kuasa kepada berat yang tinggi.
Pecutan dari 0 hingga 100km/j mengambil masa 3.2 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 283km/j.
Dari segi penggunaan bahan api, model ini mencatatkan kadar 6.5 liter bagi setiap 100km berdasarkan kitaran WMTC.
Teknologi BMW M 1000 RR dan Komponen Karbon
Asas teknikal BMW M 1000 RS menggunakan BMW M 1000 R bersama pakej BMW M Competition.
Antara perubahan utama ialah sistem pemijak kaki daripada BMW M 1000 RR dan pelana yang dinaikkan 20mm.
Kedua-dua perubahan ini menghasilkan posisi tunggangan lebih condong ke hadapan berbanding BMW M 1000 R.
Model ini turut dilengkapi sistem ekzos penuh titanium untuk pengurangan berat dan prestasi.
Antara kelengkapan dan komponen lain termasuk:
- Winglet gentian karbon kemasan matte dengan logo RS.
- Roda gentian karbon BMW M.
- Komponen gentian karbon kemasan matte.
- Tangki aluminium dengan kemasan berus.
- Bahagian belakang daripada BMW M 1000 RR.
- Pelana kemasan Alcantara dengan sulaman RS.
- Sistem brek BMW M.
- Sistem suspensi DDC (Dynamic Damping Control).
Suspensi DDC dan Sistem Brek BMW M
Bahagian hadapan menggunakan fork teleskopik terbalik berdiameter 45mm dengan sistem DDC yang dikawal secara elektronik.
Suspensi belakang pula menggunakan lengan ayun aluminium dua sisi dengan penyerap hentak tunggal DDC.
Kedua-dua suspensi menawarkan jarak gerak masing-masing 120mm di hadapan dan 117mm di belakang.
Sistem brek hadapan menggunakan cakera berkembar terapung berdiameter 320mm dengan angkup tetap empat omboh jenis radial.
Bahagian belakang pula menggunakan cakera tunggal 220mm dengan angkup terapung satu omboh.
Sistem keselamatan turut merangkumi BMW Motorrad ABS Pro dan BMW Motorrad DTC (Dynamic Traction Control).
Kelengkapan Standard BMW M 1000 RS
Antara kelengkapan standard pada model ini:
- M Short-stroke Throttle Grip
- Pemanas pemegang tangan
- Cruise Control
- Driving Modes Pro
- M Startup Animation
- Shift Assistant Pro
- DDC
- Bateri M
- Roda gentian karbon M
- Sistem ekzos penuh titanium M
- Tangki bahan api 16.5 liter,
- Sistem brek M
- Winglet gentian karbon matte M
- Pelana kemasan Alcantara
- Tuil brek dan klac M
- Cermin sisi hujung pemegang
- RDC
- Keyless Ride
- M Track Package
- Komponen gentian karbon matte
- Bahagian belakang M RR
- Logo RS
Hanya 1,000 Unit, Harga RM180,680
BMW M 1000 RS akan dihasilkan sebanyak 1,000 unit sahaja di seluruh dunia dan mula ditawarkan di pengedar BMW Motorrad pada Mac 2027.
Harga jualan di Jerman ditetapkan pada €40,000 termasuk cukai VAT sebanyak 19 peratus, bersamaan kira-kira RM180,680.



































