
BMW menerima kecaman netizen selepas memuat naik satu hantaran di Instagram yang membandingkan Toyota Corolla (1991) dengan BMW X5 (2027).
Dalam hantaran tersebut, BMW menggunakan imej Corolla generasi ketujuh (E100) tanpa logo dan melabelkan reka bentuk sedan Jepun itu sebagai “membosankan”, sambil menonjolkan rekaan baharu X5 menerusi slogan: “We don’t just design cars. We give them character.”
Bagaimanapun, cubaan BMW untuk mempromosikan bahasa reka bentuk baharu Neue Klasse tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
Ruangan komen pantas dipenuhi pengguna media sosial yang mempertahankan Corolla, malah ada yang berpendapat label “boring” lebih sesuai ditujukan kepada BMW berbanding Toyota.
Ramai memuji reka bentuk Corolla yang ringkas, klasik dan tahan diuji masa, selain terkenal dengan ketahanan serta kebolehpercayaannya.
Seorang pengguna menulis, “Itu bukan membosankan, itu klasik.”
Tidak kurang juga yang menuduh BMW sengaja menggunakan taktik “rage bait” untuk mencetuskan perdebatan dan meningkatkan interaksi di media sosial.
Selain mempertahankan Corolla, ramai netizen turut mengkritik reka bentuk BMW moden yang berasaskan falsafah Neue Klasse.
Walaupun terdapat segelintir penyokong BMW yang mempertahankan jenama itu, kebanyakan komen lebih nostalgik terhadap model-model klasik BMW seperti E30 dan E39 berbanding produk terkini.
Akhirnya, percubaan BMW untuk membandingkan sebuah SUV premium moden dengan sedan ekonomi berusia lebih 30 tahun nampaknya memakan diri apabila majoriti pengguna internet lebih memilih untuk memuji Toyota Corolla yang dianggap sebagai antara model paling ikonik dan tahan lasak pernah dihasilkan.
View this post on Instagram





