
Walaupun berstatus hypercar eksklusif bernilai jutaan ringgit, Koenigsegg CC850 tidak terlepas daripada isu teknikal.
Syarikat pengeluar dari Sweden itu kini mengumumkan kempen panggil semula melibatkan semua unit yang telah dihantar ke Amerika Syarikat.
Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA), hanya tujuh unit CC850 terlibat dalam kempen tersebut.
Isu itu dikenal pasti selepas satu laporan diterima pada 12 Oktober lalu apabila sebuah CC850 didakwa bergerak sendiri selepas pemandu keluar daripada kenderaan dengan enjin masih hidup dan transmisi berada dalam kedudukan mengundur.
Siasatan dalaman Koenigsegg mendapati brek parkir elektronik tidak akan diaktifkan secara automatik apabila transmisi berada dalam mod Reverse dan enjin masih hidup.
Dalam keadaan tersebut, butang brek parkir perlu ditekan dan dipegang secara berterusan untuk mengaktifkannya.
Walaupun tiada maklumat mengenai kemalangan atau kerosakan dilaporkan, Koenigsegg tetap mengambil langkah proaktif untuk membetulkan isu berkenaan.
Kesemua tujuh unit CC850 yang dihasilkan antara September 2025 hingga Ogos 2026 akan menerima kemas kini perisian secara over-the-air (OTA) secara percuma.
Pemilik yang memilih untuk tidak melakukan kemas kini OTA boleh membawa kenderaan mereka ke pusat servis Koenigsegg yang sah untuk pemasangan perisian baharu.
CC850 merupakan antara model paling unik pernah dihasilkan Koenigsegg kerana menggunakan transmisi Lightspeed sembilan kelajuan yang boleh beroperasi sebagai transmisi automatik atau manual.
Sistem tersebut membolehkan pemandu menggunakan pedal klac dan tuil gear seperti kereta manual tradisional, namun pada masa sama boleh ditukar kepada mod automatik sepenuhnya.






