
Sekitar tahun 2007, Koenigsegg membangunkan projek CCGT dengan hasrat untuk bertempur di dalam kelas Le Mans GT1.
Undang-undang perlumbaan pada ketika itu memerlukan kereta lumba memenuhi spesifikasi yang ditetapkan seperti menggunakan asas kereta produksi, lebar maksimum 2 meter dan output kuasa maksimum 600 hp.
Sayang sekali, dua bulan selepas kereta tersebut melengkapkan ujian pertama, regulasi GT1 FIA berubah dengan drastik sekali gus menamatkan projek tersebut.
Projek CCGT1 dilihat menghidupkan semula konsep CCGT sebagai sebuah jentera jalanan yang boleh dilenjan atas litar lumba.
Malah, ia juga disifatkan sebagai jentera litar yang paling pantas pernah diproduksikan.
Menggunakan asas daripada CC850 (2022), CCGT1 dikuasakan oleh enjin V8 5.0 liter turbo berkembar menghasilkan 1,280 hp dan 1,500 Nm.
Dengan bahan api E85, angka kuasa kuda boleh mencapai sehingga 1,600 hp.
Kuasa disalurkan kepada roda belakang menerusi kotak gear Light Speed Transmission 9-kelajuan dengan pilihan mod auto, sekuential, manual dan undur.
Terdapat juga pilihan kotak gear manual konvensional enam-kelajuan disediakan.
Jentera ini menggunakan kerangka monocoque gentian karbon dengan tangki bahan api terbina, serta gentian karbon putih Ghost di bahagian luar.
Di bahagian luar, CCGT1 menampilkan ciri seperti skup udara pada bumbung, splitter dan winglet aerodinamik depan, sayap belakang aktif, liang penyejukan NACA dan juga diffuser.
Hasilnya, CCGT1 boleh menjana daya mendap 800 kg pada kelajuan sehingga 250 km/j.
Ruang kabin pula membawakan susun atur berorientasikan pemandu yang diinspirasikan daripada jentera lumba, tempat duduk sports gentian karbon, sistem abah-abah enam poin dan pilihan trim kulit atau Alcantara.
Sistem Chronocluster memaparkan info penting seperti kelajuan, tahap putaran enjin, daya tujahan turbo serta meter G.
Koenigsegg turut menawarkan pakej opsyen untuk kegunaan litar yang merangkumi kelengkapan seperti sangkar keselamatan karbon, tempat duduk serasi sistem HANS, sistem pemadam kebakaran, ekzos perlumbaan, sistem jek udara, sistem brek dan suspensi kegunaan litar, aspek aerodinamik yang dipertingkat dan tayar khas.
































