
Mansory yang selama ini terkenal dengan sentuhan tersendiri untuk barisan kereta super dan hiper kini beralih arah ke dunia dua roda.
Selepas menghasilkan Vespa kustom, Mansory kini memulakan kanvas baharu dengan projek Mansory Maxi Scooter.
Menggunakan asas Yamaha TMAX 560, skuter maxi tersebut diberikan penambahan panel badan yang diperbuat daripada gentian karbon.
Bahan yang mahal itu boleh didapati pada bahagian seperti pelindung cermin sisi, lencana Mansory, panel sisi, winglet aerodinamik serta kemasan pada perumah lampu utama.
Skuter ini dilayankan dengan skema warna firus (turquoise) yang mengingatkan kita kepada warna rasmi PETRONAS.
Difahamkan kit badan Mansory ini ditawarkan dalam satu pakej lengkap dan tidak boleh dibeli berasingan.
Harus anda ingat bahawa tiada sebarang tanda harga dipaparkan di dalam laman web rasmi Mansory.
Jadi tiada gunanya untuk anda bersusah payah menaip dan menghantar DM semata-mata untuk bertanyakan harga kepada kami.
Yamaha TMAX dikuasakan oleh enjin parallel-twin 562 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 47 hp pada 7,500 rpm dan 55 Nm pada 5,250 rpm.
Ia hadir dengan ciri seperti tangki bahan api 15 liter, skrin paparan TFT 7-inci, pemanas grip bar hendal, pemanas pelana dan cermin penghadang angin boleh laras elektrik.


































