
Bertempat di EICMA 2025, Yamaha mengambil kesempatan mengumumkan kehadiran model skuter maxi Yamaha TMAX (2026) edisi ulang tahun yang ke-25.
Ia merupakan satu penghormatan kepada model edisi khas pertama TMAX yang diperkenalkan pada tahun 2006, iaitu Black TMAX.
Spesifikasi asas masih lagi sama, di mana enjin 560 cc itu berupaya menjana kuasa 47 hp dan mematuhi piawaian emisi Euro5+.
Apa yang membezakannya dengan TMAX standard yang ada di pasaran ialah gandingan warna Dark Gray metallic dan Light Gray metallic, diikuti dengan kemasan jahitan merah berkembar pada bahagian pelana.
Selain itu, ia turut mendapat rim bersaiz 15 inci berwarna hitam, pelindung enjin, diikuti logo dan lencana tiga dimensi dalam warna merah dan krom.
Akhir sekali, Yamaha menawarkan akses navigasi penuh Garmin secara percuma apabila penunggang menggunakan aplikasi Garmin Motorize App dalam skrin paparan TFT tujuh inci.
Yamaha TMAX 25th Anniversary ini akan ditawarkan dalam unit terhad untuk pasaran Eropah bermula suku pertama tahun depan.
Di benua Eropah, Yamaha mula memperkenalkan barisan keluarga skuter MAX pada tahun 2001, dengan tidak kurang daripada 14 model tersedia untuk pelbagai negara di sana.
Sejak daripada itu, Yamaha berjaya menjual kira-kira 340,000 unit, merangkumi 80 peratus daripada jumlah jualan skuter Yamaha di pasaran tersebut.


































