
Italjet sangat terkenal dengan rekaan skuter yang tersendiri dan tidak konvensional seperti rata-rata skuter dalam pasaran.
Di EICMA 2025, pengeluar itu mempamerkan skuter terbaharu Italjet Roadster 400 dengan rekaan yang diinspirasikan daripada skuter era 50-an dan 60-an.
Bukan itu sahaja, Roadster 400 turut menampilkan elemen rekaan motosikal moden dan unsur jet pejuang!
Roadster 400 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 394 cc menghasilkan 41.5 hp dan 41 Nm, jauh lebih berkuasa berbanding Honda Forza 350 dan Suzuki Burgman 400.
Terdapat beberapa ciri unik seperti contoh saluran penyejukan sisi yang dibentuk seakan sistem kemasukan turbin kapal terbang, diikuti dengan sistem ekzos berkembar Akrapovic.
Selain itu, ciri lain termasuklah suspensi Ohlins dan komponen Dynamic Linkage Articulated Steering (DLAS) yang disifatkan sebagai satu evolusi terhadap rekaan ikonik lengan tunggal dan dalam masa yang sama mengekalkan identiti visual Italjet.
Skuter Roadster 400 ini akan mula dijual pada tahun hadapan, dengan harga jualan dari €7,500 (RM35,920).


































