Utama Berita Automotif Projek gila padankan enjin turbin pada Harley-Davidson

Projek gila padankan enjin turbin pada Harley-Davidson

4

Sesebuah Harley-Davidson tidak direka untuk ditunggang dengan laju. 

Tapi jika keunikan yang anda kejar, boleh cuba contohi projek gila yang dilakukan oleh dua YouTuber, iaitu Warped dan Bikes and Beards. 

Kedua-dua pihak tersebut membina sebuah Harley-Davidson yang boleh ditunggang tanpa enjin konvensional, transmisi atau sistem pacuan yang biasa kita dengar. 

Sebaliknya, motosikal ini digerakkan oleh daya tujahan daripada dua turbin jet. 

Ya, sepasang turbin yang biasanya wujud pada pesawat kini digunakan untuk menggerakkan motosikal ini!

Projek ini bermula daripada sebuah Harley-Davidson di mana enjin asalnya sudah rosak teruk. 

Matt (Warped) membuat keputusan untuk membuang keseluruhan enjin tersebut dan memulakan pembinaan semula dari awal. 

Enjin asal V-Twin Harley-Davidson itu telah digantikan dengan dua turbin mikro yang dipasang berhampiran roda belakang. 

Setiap satu mampu menghasilkan daya tujahan sekitar 70 hingga 75 paun, dengan jumlah keseluruhan sekitar 150 paun. 

Kedua-dua turbin tersebut tidak langsung mempunyai sambungan kepada roda belakang, di mana hanya daya tujahan sahaja yang boleh menolak motosikal ini bergerak ke depan. 

Menurut Matt, proses transformasi ini mengambil masa lebih 400 jam kerja, termasuk membina sistem bahan api dan elektronik khas bagi mengawal kedua-dua turbin tersebut. 

Aspek keselamatan juga turut ditumpukan di mana turbin tersebut dilengkapi pelindung khas bagi menahan kemasukan serpihan yang boleh menyebabkan kerosakan. 

Untuk memperlahankan Harley berkuasa jet ini, pasukan pembangun telah memasang sistem pemutus bekalan bahan api secara manual. 

Disebabkan tiada enjin dan transmisi asal, berat Harley-Davidson tersebut dianggarkan sekitar 159 kg dan berjaya mencapai kelajuan 97 km/j. 

Bayangkan anda di atas jalan raya bergerak pada kelajuan sehingga 97 km/j diiringi dengan bunyi seperti sebuah pesawat yang sedia untuk berlepas. 

Cool, bukan? 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here