
Harley-Davidson menerusi pengedar rasminya, Route 77 Harley-Davidson of Kuala Lumpur, menjalinkan kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi program Proof of Concept (POC) bagi menilai kesesuaian motosikal jenama itu untuk operasi trafik.
Menerusi program tersebut, tiga buah motosikal Harley-Davidson diserahkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk menjalani penilaian dalam situasi operasi sebenar.
Majlis penyerahan telah berlangsung di pusat jualan Route 77 Harley-Davidson Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tiga model yang terlibat dalam penilaian berkenaan :
- Harley-Davidson Low Rider ST
- Harley-Davidson Street Glide
- Harley-Davidson Pan America
Ketiga-tiga model tersebut mewakili platform berbeza dalam barisan produk Harley-Davidson, merangkumi segmen Cruiser, Grand American Touring dan Adventure Touring.
Route 77 Harley-Davidson berkata, program POC itu membolehkan JSPT melakukan penilaian menyeluruh berdasarkan keperluan operasi, termasuk aspek prestasi, pengendalian, kebolehgerakan dan praktikaliti.
Penilaian turut memberi tumpuan kepada kesesuaian penggunaan motosikal untuk tugasan seperti iringan rasmi dan operasi penguatkuasaan trafik.

Bagaimanapun, ketiga-tiga motosikal berkenaan disediakan khusus untuk tujuan penilaian sahaja dan bukan penyerahan kekal kepada PDRM.
Menariknya, tempoh penilaian berkenaan turut bertepatan dengan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTDL) 2026.
Situasi itu memberi peluang kepada anggota JSPT menguji ketiga-tiga model dalam keadaan operasi sebenar, termasuk perjalanan jarak jauh, kepelbagaian keadaan jalan raya serta keperluan tugas ketika mengendalikan acara sukan bertaraf antarabangsa.
Namun, penggunaan motosikal sepanjang LTDL 2026 adalah sebahagian daripada proses POC dan tidak membawa maksud motosikal berkenaan diterima sebagai aset tetap atau digunakan secara rasmi untuk jangka panjang.

Pihak Route 77 Harley-Davidson menegaskan, program berkenaan hanyalah bersifat penilaian dan tidak membentuk sebarang komitmen pembelian, pengesahan mahupun keputusan perolehan.
Sebarang pertimbangan untuk perolehan motosikal tersebut pada masa hadapan masih tertakluk kepada proses penilaian, kelulusan dan prosedur perolehan ditetapkan PDRM.
Dalam masa sama, kerjasama ini memberi peluang kepada JSPT membandingkan karakter tiga platform berbeza Harley-Davidson dalam keadaan operasi sebenar sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.




