
Jenama kenderaan elektrik (EV) premium dari China, Zeekr, mengukuhkan kedudukannya di Malaysia menerusi pemeteraian perjanjian pengedaran dengan peruncit automotif tempatan, EON.
Menerusi kerjasama strategik itu, Zeekr akan memperluas rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan di Lembah Klang, bermula dengan pembukaan kedai pop-up di AEON Mall Shah Alam pada Oktober ini.
Pembukaan tersebut akan diikuti dengan pelancaran pusat sehenti Zeekr House Glenmarie yang dijadualkan beroperasi pada suku pertama tahun 2027.
Perkembangan itu hadir selepas pelancaran program komuniti pemilik One Zeekr baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada usaha syarikat membina ekosistem pemilikan lebih komprehensif di pasaran tempatan.

Kedai pop-up berkeluasan 1,340 kaki persegi di AEON Mall Shah Alam akan berfungsi sebagai pusat jualan sementara, manakala pembangunan tapak kekal di Glenmarie sedang dijalankan.
Melalui pusat itu, pelanggan berpeluang melihat secara dekat barisan model semasa Zeekr di Malaysia iaitu Zeekr X, Zeekr 009 dan Zeekr 7X, selain mendapatkan khidmat rundingan mengenai pilihan kenderaan dan pakej pemilikan.
Sementara itu, Zeekr House Glenmarie yang bakal dibuka kelak pula menawarkan perkhidmatan bersepadu merangkumi jualan, penyerahan kenderaan dan pusat servis selepas jualan di bawah satu bumbung.

Zeekr Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama dengan EON yang juga peruncit automotif pelbagai jenama berpengalaman luas dalam segmen kenderaan konvensional dan elektrik, bertujuan meningkatkan akses pelanggan serta memperkukuh sokongan pemilikan seiring dengan pengembangan portfolio jenama itu.
Dalam pasaran EV premium yang kompetitif, keyakinan pembeli bukan sahaja bergantung kepada peluasan rangkaian jualan, malah dipengaruhi kapasiti selepas jualan, ketersediaan alat ganti, kualiti perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur pengecasan.
Sehubungan itu, Zeekr memaklumkan akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan automotif strategik bagi memperluas rangkaian jualan dan selepas jualan di seluruh Malaysia.
































