
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Zeekr Intelligent Technology Malaysia memilih untuk turun padang apabila berganding bahu dengan Malaysia Marathon 2026 sebagai Penaja Utama kategori 10KM.
Langkah itu bukan sahaja meraikan kemerdekaan, malah menandakan hampir dua tahun jenama kenderaan elektrik (EV) premium itu bertapak di pasaran tempatan.
Sebagai penaja utama, Zeekr menghimpunkan lebih 100 tetamu jemputan terdiri daripada pemilik, rakan media dan rakan niaga untuk menyertai larian bersama komuniti.

Model SUV elektrik terbaharu, Zeekr 7X, turut diberi peranan penting sebagai kereta masa rasmi dan kereta pendahulu acara berprestij itu.
Pengurus Besar Zeekr Malaysia, Eddy Lu berkata, penyertaan ini adalah cara jenama tersebut mendekati rakyat.
“Malaysia Marathon 2026 memberi kami peluang bermakna untuk meraikan Malaysia menerusi sukan. Ia wadah terbaik untuk mendekatkan Zeekr dengan pelanggan, rakan kongsi dan komuniti yang telah menyokong kami hampir dua tahun,” katanya.

Kerjasama Zeekr bersama Malaysia Marathon dan Tourism Malaysia juga selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Acara berskala nasional ini menyasarkan 25,000 penyertaan dari dalam dan luar negara, dengan matlamat menggabungkan elemen sukan, pelancongan dan budaya bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi sukan bertaraf dunia.
Tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati turut dizahirkan Zeekr menerusi semangat inklusif dan progresif yang dibawa sepanjang acara.

Sambutan tidak terhenti di garisan penamat. Zeekr turut menganjurkan konvoi khas Merdeka yang bermula dari Pavilion Kuala Lumpur dan menyusuri jalan-jalan utama ibu kota, membawa semangat patriotik ke tengah bandar.
Di Pavilion KL, Zeekr bersama pemilik turut mempamerkan kesemua tiga model Zeekr dengan livery dan pelekat khas Hari Kebangsaan, menarik perhatian pengunjung pusat beli-belah itu.
Dengan gabungan sukan, gaya hidup dan teknologi EV, Zeekr dilihat bukan sekadar menjual kereta, tetapi turut memacu semangat kemasyarakatan dan kelestarian sempena bulan kemerdekaan.
































