Utama Berita Automotif PROTON angkat tema ‘Saya Anak e.MAS Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-69

PROTON angkat tema ‘Saya Anak e.MAS Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-69

5

Bersempena Hari Kebangsaan ke-69, PROTON dan Proton e.MAS mengetengahkan peranan kenderaan elektrik (EV) sebagai lambang evolusi mobiliti rakyat Malaysia menerusi tema Colours of the Malaysian Spirit dan naratif Saya Anak e.MAS Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada perarakan Merdeka, sebanyak 14 kenderaan daripada kontingen PROTON dipamerkan dengan balutan khas bertemakan Memacu Malaysia.

Barisan tersebut merangkumi model ikonik Proton Saga sehingga ke jentera EV terkini iaitu Proton e.MAS 7, e.MAS 7 PHEV, e.MAS 5, serta model popular S70, X50, X70 dan X90.

Paparan itu melambangkan kesinambungan legasi PROTON daripada era permulaan sehingga era elektrifikasi.

Naratif Saya Anak e.MAS Malaysia diketengahkan melalui perkongsian tiga pemilik PROTON daripada generasi berbeza, yang kini beralih kepada EV sebagai pilihan mobiliti harian.

Loy Yuong Siang, pemilik Proton e.MAS 7, menyatakan keputusannya beralih kepada EV didorong oleh komitmen terhadap kelestarian.

Beliau turut mengamalkan pengecasan di kediaman menggunakan tenaga solar.

“Beralih kepada EV adalah langkah untuk mengurangkan jejak karbon dan pencemaran udara.

“Dengan mengecas di rumah menggunakan tenaga solar, saya mengamalkan konsep karbon negatif.

“Selain itu, EV menawarkan pemanduan yang lebih mudah dikawal, kos penyelenggaraan lebih rendah dan prestasi yang sesuai untuk kegunaan harian. Saya amat berbangga menjadi Anak e.MAS Malaysia,” katanya.

Bagi Ariff Merican Din Merican, pemilihan e.MAS 7 sebagai EV pertama beliau diteruskan daripada hubungan kekeluargaan bersama PROTON sejak lebih tiga dekad lalu.

Kereta pertama ibunya, Proton Saga 1992, menemani beliau sehingga ke alam pekerjaan sebelum beliau beralih kepada Proton Persona dan kini ke e.MAS 7.

“Saya memilih e.MAS 7 kerana reputasi ketahanan dan kepercayaannya. Daripada Saga 1992, Persona, kini saya memiliki EV pertama keluaran Malaysia.

“Ini satu pencapaian yang saya banggakan,” ujarnya.

Sementara itu, Elvina Jo pula memilih Proton e.MAS 7 atas faktor kepraktisan dan keselamatan sebagai seorang ibu.

“Sebagai wanita dan ibu, saya menggunakan e.MAS 7 untuk menghantar anak ke sekolah dan ke tempat kerja. Kenderaan ini bukan sahaja selamat untuk keluarga, malah menjimatkan kos.

“Elemen teknologi yang ada turut menjadikan pengalaman pemanduan lebih lancar dan selesa,” jelasnya.

Pengalaman ketiga-tiga pemilik itu mencerminkan aspirasi kempen Saya Anak e.MAS Malaysia yang menghubungkan legasi pemilik PROTON terdahulu dengan generasi baharu dalam era mobiliti elektrik.

Seiring itu, tema Colours of the Malaysian Spirit turut menonjolkan kepelbagaian, perpaduan dan nilai kehidupan rakyat Malaysia.

Ia memperlihatkan bagaimana mobiliti terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat, komuniti dan aspirasi negara sempena sambutan Kemerdekaan ke-69.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here