
Tular di media sosial memaparkan sebuah jambatan gantung Pongpet di Desa Margacinta, daerah Pangandaran, Jawa Barat, Indonesia runtuh ketika majlis perasmian pada Sabtu.
Jambatan dengan panjang 65 meter dan tinggi 20 meter tersebut rosak ketika rombongan tetamu menggunakannya selepas acara perasmian dan antara individu yang terlibat dalam insiden itu ialah Ketua Daerah Pangandaran, Citra Pitriyami; Komandan Kodim; Leftenan Kolonel, Czi Citra Kurniawan, serta sejumlah pejabat dan masyarakat.
Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan korban jiwa dan mangsa dilaporkan mengalami luka ringan akibat insiden itu.
Czi Citra Kurniawan menjelaskan insiden itu berlaku apabila tali sling pada tepi jambatan bersama tiang tercabut manakala struktur bahagian bawah jambatan masih dalam keadaan baik.

“Jadi pada saat sudah disambut Porkopimda, dengan ketua daerah saya melintasi jambatan tersebut.
“Kemudian tali sling sebelah kanan dengan tiang tercabut, putus. Alhamdulillah tidak ada korban jiwa. Tetapi untuk struktur bawahnya itu masih utuh,” ujarnya.
Menurutnya, jambatan tersebut memiliki kapasiti beban maksimum 2 tan dan beliau mengakui adanya kekurangan dalam pengawasan saat pelaksanaan perasmian.
“Penyebabnya itu memang kesalahan kami dari Kodim pada saat pelaksanaan perasmian, kami tidak mengawal kapasiti yang melewati jambatan tersebut,” ujarnya.
Pengakuan tersebut disampaikan sehari selepas insiden dan beliau akan memastikan kerosakan tersebut akan diperbaiki sebelum kembali digunakan masyarakat.

“Saat ini juga kita akan melaksanakan baik pulih semaksimum mungkin. Sehingga kejadian musibah tersebut tidak akan terjadi lagi,” katanya.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada program nasional pembangunan jambatan yang dikawal Tentera Nasional Indonesia (TNI) melalui Kodim 0625/Pangandaran.
Jelasnya, jambatan itu sempat diuji dua minggu sebelum majlis perasmian dengan menggunakan dua motosikal dan melibatkan sejumlah penduduk.
“Waktu itu kami melintasi ya ada sekitar enam orang. Saya dengan penduduk di situ untuk mencuba jambatan tersebut.
“Namun, pada saat perasmian, jumlah orang yang melintas secara bersamaan lebih banyak dibandingkan saat uji cuba,” jelasnya.
































