
Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) terus memperkukuh kedudukan dalam segmen selepas jualan dengan pelancaran Hab Body & Paint pertamanya di Glenmarie, Shah Alam.
Dengan keluasan 41,508 kaki persegi, hab berkenaan diiktiraf sebagai antara pusat pembaikan badan dan cat kenderaan terbesar di negara ini.
Ia dilengkapi 39 ruang kerja, tiga bilik bancuhan cat dan empat kebuk semburan cat berteknologi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, pembukaan hab itu menjadi penanda aras baharu komitmen syarikat dalam memberikan pengalaman pemilikan kenderaan yang menyeluruh.
“Di EON, hubungan kami dengan pelanggan tidak berakhir apabila kenderaan keluar dari bilik pameran.
“Setiap interaksi sepanjang tempoh pemilikan adalah peluang untuk kami bina kepercayaan dan beri nilai sebenar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran hab tersebut, semalam.

Apa yang menarik, hab ini bukan eksklusif untuk satu jenama. Ia menyokong operasi pelbagai jenama di bawah EON termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik (EV) smart, manakala jenama EV nasional, Proton e.MAS dijangka menyertai portfolio tidak lama lagi.
Menurut Akkbar, pusat itu dibangunkan sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) EON dan dilengkapi teknologi pembaikan moden serta tenaga kerja profesional terlatih.
“Dari pembaikan akibat kemalangan, pemulihan badan kenderaan sehingga kemasan semula cat, semuanya dilakukan bagi memastikan kenderaan dipulihkan kepada keadaan optimum tanpa kompromi dari segi keselamatan, kualiti dan estetika,” jelasnya.
Bagi memudahkan pelanggan, hab berkenaan turut menerima tuntutan pembaikan kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia.
Dalam pada itu, Akkbar mendedahkan EON sedang meneroka untuk memperluas rangkaian Hab Body & Paint ke lokasi-lokasi strategik lain yang mempunyai kehadiran kukuh jenama-jenama di bawah syarikat itu.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang EON untuk membina ekosistem selepas jualan yang lengkap dan merentasi pelbagai jenama,” katanya.




























